Saturday 27 July 2013

Air Batu Di Bulan Ramadan


Melalui zaman 50 / 60an peti ais / sejuk belum popular dan untuk memilikinya pun masih belum termampu oleh kebanyakkan warga Kampung Padang Jawa, maka hendak mendapatkan ais batu pun amat susah. Lebih lebih lagi bekalan elektrik belum ada lagi ke kampung ini.

Bekalannya air batu amat terhad diusahakan oleh sebuah kedai sahaja iaitu Kedai Pak Abu sedangkan permintaannya di bulan Ramadhan amat tinggi. Menariknya, Pak Abu sebagai penjual menyimpan bongkah air batu dengan menggunakan serbuk papan atau dibaluti dengan guni padi dalam sebuah peti kayu. Bongkah yang besar itu kemudian dipotong dengan menggunakan gergaji. Kalau lambat beli, alamatnya terpaksalah berbuka dengan air suam atau air panas sahaja. Bagi aku yang masih kanak-kanak pada ketka itu, sering menjalankan tugas membeli ais batu ini. Aku dengan seberapa daya upaya sekitar jam 4 petang sudah bergegas naik basikal menuju ke Kedai Pak Abu untuk membeli air batu. Ini kerana aku tidak sangup berbuka dengan air panas. Maklumlah kanak kanak, akan memastikan misi berkenaan berjaya. Walaupun serba kekurangan, bagiku ianya tetap merupakan salah satu kenangan yang terindah. Aku amat menghargai bila dapat membeli seketul ais dan direndam dengan air kelapa atau limau nipis atau sirap sarbat atau kembang semangkuk dan sebagainya.

Seketul air batu berukuran lebih kurang 6" x 4" x 3" cuma 10 sen sahaja. Kalau double sizenya 20 sen lah harganya. Namun dapat beli yang 10 sen jer, tu pun dah mencukupi. Air batu ni di selaputi habuk kayu gergaji dan dibungkus lagi dengan kertas surat khabar. Kalau tak buat begitu memang tak sampai berbukalah jawabnya. Ia akan cepat cair dan harapan untuk berbuka dengan nya akan tinggal harapan saja.

Memang sedap berbuka dengan air batu...sejukkk jer tekak!

No comments:

Post a Comment