Monday 15 October 2012

Kejatuhan dan kebangkitan Klang


Sumber dari scribd.com uploaded by:AkourSemmily   


"Bro bro pro Jawa warga Kampung Padang Jawa yang tulis profail kampung elok baca rencana ini untuk refresh minda anda. Lihatlah betapa bijaknya penjajah British menggunakan kesempatan untuk menguasai dan membolot ekonomi Tanah Melayu. British juga tak import pendekar hebat atau handal dari kalangan orang Cina, India dan Indonesia."  Sila lah baca.
 

1. KEJATUHAN DAN KEBANGKITAN KLANG, 1867-1900

ABSTRAK 
Artikel ini bertajuk Kejatuhan dan Kebangkitan Klang, 1867-1900´membincangkan tentang pentadbiran, politik serta sistem social dalam proses pembangunan Klang. Artikel ini diambil daripada Jurnal of  Malaysia Branch Asian Sociatic yang ditulis oleh J.M. Gullick. Secara keseluruhannya, pelbagai kemajuan dan perubahan yang berlaku diKlang terutamanya semasa penjajahan British. Hal ini, pihak British berusaha menguasai ekonomi yang terdapat di Klang terutamanya dalam eksport bijih timah. Perang saudara yang berlaku memberi peluang yang lebih luas kepada British untuk menduduki Klang melalui Tunku Kudin. Perubahan demi perubahan telah dibawa oleh British semasa menjajah Klang. Terdapat kesan baik dan buruk kepada penduduk pada masa ini.

1.0.   PENGENALAN 
Artikel telah ditulis oleh J.M. Gullick ini membincangkan tentang Sejarah Klang yang mana ia merangkumi aspek sejarah penempatan, pembangunan, pelabuhan, ekonomi yang dijalankan diKlang dan lain-lain. Pelbagai aspek yang diketengahkan dalam artikel ini yang mana memberi satu gambaran mengenai latar kehidupan masyarakat di Klang pada abad ke-19. Klang pada masa tersebut telah mengalami konflik perebutan kuasa pusat pentadbirannya. Seterusnya, perkara ini telah membawa kepada Perang Klang. Melalui perang saudara inilah pihak British mula menjajah Tanah Melayu secara langsung. Tambahan pula, pembangunan ekonomi yang radikal telah mengubah keadaan1 dan suasana kehidupan masyarakat pada masa ini. Kawasn zon pantai dengan tanah yang rata telah menarik golongan Imigran untuk datang ke Tanah Melayu seperti golongan Jawa yang menjalankan pertanian.

2.0. BENTUK MUKA BUMI
 Sejarah penempatan awal di Klang adalah sama dengan sifatnya dengan penempatan melayu dikawasan-kawasan lain. Mereka memulakan penempatan mereka di tepi-tepi sungai.2. Klang merupakan Bandar yang kaya dengan bijih timah dan berdasarkan artikel ini, Klang ditadbir secara rasmi oleh Raja Abdullah dan bagi menggantikan Raja Suleiman yang mangkat padatahun 1853. Selain itu, Klang telah diserahkan oleh Sultan Muhammad kepada Raja Abdullah sejak tahun 1849 lagi. Hal ini juga sebagai membalas jasa Raja Abdullah iaitu menantu kepada Sultan Muhammad yang telah melangsaikan hutang Sultan Muhammad.3 Raja Mahdi (anak Raja Suleiman) tidak berpuas hati dan berusaha merebut semula Klang yang sepatutnya diwarisi olehnya. Berlaku peperangan antara Raja Mahdi dan Raja Abdullah. Raja Mahdi berjaya merampas semula Klang dan memerintah Klang selama dua tahun sebelum menghadapi tentangan daripada Raja Ismail dan Raja Hasan 
( anak Raja Abdullah). Raja Abdullah telah membawa banyak kemajuan semasa Klang dibawah pentadbirannya. Buktinya, ketibaan Raja Abdullah di satu kawasan sungai yang dikenali Kuala Lumpur telah menukar kawasan ini daripada sebuah perkampungan yang kecil kepada sebuah Bandar yang menjadi pelbagai pusat perniagaan yang berpunca daripada bijih timah.4. Namun, sebenarnya Raja Abdullah telah menggunakan segala kesempatan yang dimiliki untuk mendapatkan keuntungan semaksimum mungkin.5. Hal ini menunjukkan Beliau turut mengutamakan kepentingan untuk diri sendiri.

2.1. PEMULIHAN DAN KEMEROSOTAN SELEPAS PERANG

Keadaan politik  yang tidak stabil memaksa ramai penduduk Klang  terpaksa berpindah ke
tempat lain. Perang Klang yang berlaku menyebabkan Sultan Abdul Samad melantik Tunku Kudin sebagai wakil mutlaknya bagi menyelesaikan masalah yang berlaku antara Raja Abdullah dan Raja Mahdi.6. Raja Mahdi telah kalah dan diusir keluar pada tahun 1870 dan perang Klang berjaya ditamatkan oleh Tunku Kudin pada tahun 1873. Hal ini demikian, Tunku Kudin mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak British berbanding Raja Mahdi. Tunku Kudin merupakan seorang yang cergas dan berpelajaran Inggeris serta mahir dengan cara pentadbiran barat7 yang mana memudahkan beliau mendapatkan bantuan daripada pihak British. Pelbagai kemajuan dan kemakmuran telah berjaya dibawa oleh Tunku Kudin atas nasihat British. Buktinya, dalam masa yang singkat, pembangunan di kawasan pedalaman telah bermula 8 dan perlombongan bijih timah juga telah dijalankan dengan giatnya. Namun, pada pertengahan tahun 1875, harga bijih timah telah jatuh daripada harga tempatan $125 kepada $70 satu pikul. Kadar faedah juga meningkat tinggi bagi membiayai pemulihan selepas perang saudara. Hal ini menyebabkan keadaan penduduk semakin terdesak dan tidak mengalami banyak perubahan dalam kehidupan.

2.2.          PELABUHAN KLANG, 1800-1900
 Jalan perhubungan di Klang mesti diperbaiki jika perindusrian bijih timah di Selangor ingin bersaing dengan perlombongan bijih timah yang di Perak. Hal ini demikian, perlombongan bijih timah di Klang terletak di kawasan pedalaman. Contohnya, perjalanan melalui Sungai Klang mengambil masa tiga hari iaitu daripada Pelabuhan Klang ke Damansara dan dari Damansara keKuala Lumpur pula mengambil masa selama tiga atau empat hari.9 Persimpangan Sungai Klang dan Gombak juga lebih banyak aliran daripada sungai menyebabkan bot yang besar tidak dapat ke sana.10. Pada tahun 1896, landasan keretapi dari Kuala Lumpur ke Bukit Kuda telah dihubungkan merentasi Sungai Klang melalui Jambatan Connaught ke Klang.11. Pembangunan semula bandar ini mengakibatkan kemasukan pelombong pelombong baru seterusnya mengalami pertambahan penduduk.12 Hal ini menyebabkan kegiatan melombong didominasi oleh orang asing dan ini memberi kesan kepada proses urbanisasi orang Melayu.13. Kehadiran pelombong pelombong asing ini juga secara tidak langsung telah menenggelamkan kegiatan mendulang orang Melayu kerana buruh Cina mempunyai teknologi yang lebih baik dan cepat. Selain itu, pelabuhan Swettenhem telah dibina bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengangkutan bijih timah. Penyakit malaria telah merebak semasa pembukaan PelabuhanSwettenhem ini. Dengan ini, penyakit yang semakin merebak akibat pembukaan pelabuhanSwettenham memberi kesempatan kepada seorang doktor mencapai kemasyhuran di peringkat dunia.14 Jelaslah, pihak British bijak mengambil kesempatan dan peluang atas setiap perkara yang berlaku.

2.3.          BANDAR KLANG
Pada tahun 1883, pembinaan keretapi telah menyuntik jumlah wang yang besar ke dalam ekonomi tempatan. Kebanyakkannya dibelanjakan untuk upah buruh bagi kerja kerja pembersihan landasan dan pembinaan landasan keretapi. Selain itu, pada tahun 1875,dianggarkan penduduk sebanyak 800 orang dan meningkat kepada 2000 orang pada tahun 1894. Namun, bancian penduduk pada tahun 1890 mendapati hanya 12 peratus sahaja penduduk melayu.15 Hal ini disebabkan oleh dasar pemerintahan kolonial agar orang melayu tidak terdedah kepada kemajuan bandar dan hanya terlibat dengan kegiatan pertanian di pinggir  bandar.16 Pemerintahan kolonial British juga telah menciptakan citra bahawa orang Melayu hanyalah boleh bertani dan berkebun serta hanya mahir membuat kraf tangan sahaja.17 Justeru,ramai penduduk melayu yang dipindahkan oleh British ke kawasan pedalaman seperti tanah yang belum diterokai. Manakala kaum Cina pula tinggal di Bandar bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan serta mengusahakan lombong lombong bijih timah. Hal ini demikian, kebolehan orang-orang Cina bekerja dilombong dan di ladang sambil menjalankan pajak cukai menarik minat orang Inggeris.18 Orang Inggeris menganggap orang melayu adalah pemalas, tidak mahu bekerja untuk upah dan dengan demikian tidak termasuk ke dalam golongan yang akan dijadikan buruh dalam bidang ekonomi kolonial.19 Tambahan pula, sikap orang Melayu itu sendiri yang tidak mahu menjadi buruh dan suka bekerja sendiri. Pelbagai infrasruktur telah dibangunkan disekitar kawasan perlombongan. Antaranya jalan-jalan telah dibina menuju ke pekan pekan  perlombongan dan ke kawasan ladang.20 Contohnya, China Street iaitu jalan utama pada tahun 1872 Beach Street, Market Street, Jalan Raja dan lain-lain.Selain itu, Ibu pejabat juga dipindahkan dari Klang ke Kuala Lumpur pada tahun 188021 dan Kuala Lumpur juga penuh sesak dengan pondok-pondok atap.22 Disamping itu, rumah-rumah baru, bangunan-bangunan kuarters pegawai kerajaan, hospital, dan penjara juga telah dibina seiring dengan pembangunan yang ingin dijalankan di Kuala Lumpur. Hal ini demikian, banyak mendatangkan kebaikkan kepada pihak British serta memudahkan urusan pentadbiran mereka dalam usaha menguasai ekonomi Tanah Melayu. Seterusnya perpindahan pusat pentadbiran ini juga membolehkan mereka melicinkan urusan pentadbiran dan memudahkan mereka mengawal penduduk di Tanah Melayu dengan lebih teratur. Pembangunan pesat pada tahun 1880-an membantu menyediakan kemudahan untuk  penduduk yang semakin pesat bertambah dan terdiri kebanyakkannya daripada orang Cina, India, dan Indonesia untuk mengharungi arus pemodenan.23 Sekolah Melayu pertama di Selangor terletak di Klang iaitu pada tahun 1875 didirikan oleh Sultan Abdul Samad. Pendidikan yang memenuhi keperluan perkhidmatan pentadbiran awam dan swasta juga disediakan oleh pihak British.24 Namun, dapat dilihat pihak penjajah lebih mengutamakan pendidikan bagi orang Imigran dan pembesar pembesar Sultan. Orang Melayu diberi layanan kelas ketiga selepas Sultan dan imigran. Hal ini bagi mengelakkan orang Melayu mendapat pendedahan luar seterusnya memberontak terhadap sistem yang diperkenalkan British. Tambahan pula, keengganan para pengusaha pelombong Melayu yang terdiri daripada pembesar negeri dangolongan bangsawan mengambil orang Melayu bekerja menyebabkan orang Melayu terus terpinggir.25 Selain itu, terdapat juga kelab rekreasi yang ditubuhkan oleh Pihak British hasil daripada berkembangnya penduduk Eropah. Antara kelab yang ditubuhkan adalah Kelab Selangor yang merupakan pusat kehidupan sosial bagi orang Eropah sehingga tertubuhnya Lake Kelab. 26 Di sinilah tempat pertemuan dan rekreasi para kakitangan pegawai kolonial dan kelas atasan.

2.4.          KAWASAN DESA
Pada mulanya, kawasan ini diduduki dan mula diterokai oleh orang Melayu yang mana telah ditempatkan oleh pihak penjajah. Ekonomi masyarakat Melayu pada masa ini terdiri daripada kelompok kecil petani yang mengusahakan pertanian, pemburuan dan perikanan. Dari segi pertanian, British mengamalkan dasar duaan. Pertama, menggalakkan penanaman dagangan secara besar-besaran oleh pelabur asing dan kedua memperkukuhkan penanaman tanaman petani Melayu.27 Tanaman yang ditanam adalah gambir, lada hitam, kopi, tebu, padi, buah-buahan tempatan dan lain-lain. Tanaman yang mendapat perhatian dalam perdagangan adalah gambir,lada hitam dan kopi. Namun, secara keseluruhannya penanaman gambir dan lada hitam diusahakan oleh golongan Cina. Golongan Melayu hanya mengusahakan tanaman lebih kepada tujuan sara diri. Hal ini disebabkan sistem British yang mengawal ekonomi orang Melayu kerana tidak mahu orang Melayu terdedah dengan ekonomi baru seterusnya memperjuangkan hak mereka. Mereka juga disekat untuk merebut peluang dan menyertai secara langsung kegiatan  ekonomi bandaran.28 Jelas menunjukkan disini pihak British sememangnya tidak menginginkan kemajuan dalam masyarakat Melayu, malah Sultan hanya dijadikan sebagai boneka. Pada peringkat awal perhatian Kerajaan British tertumpu di kawasan Kuala Lumpur sahaja. Namun, setelah British melihat keuntungan yang boleh didapati daripada hasil pertanian, mereka mula menumpukan perhatian di kawasan luar bandar juga. Dengan ini, kemudahan pinjaman kewangan dan menduduki tanah secara percuma dalam tempoh yang ditetapkan kepada penoraka baru telah diberi bagi mempercepatkan proses pembukaan kawasan luar bandar.Kawasan yang menjadi perhatian utama British adalah perkampungan Melayu Jawa. Buktinya,menjelang pertengahan tahun 1890an, bilangan peneroka Jawa Klang telah mengatasi peneroka Melayu lain dan pemohonan tanah dalam kalangan mereka sentiasa bertambah.29 Tambahan pula, Pegawai British kebanyakkannya yakin dan percaya akan setiap tanah yang diusahakan oleh peneroka dari seberang ini, khususnya golongan Jawa.30 Manakala orang Melayu tempatan pula pada masa ini mengusahakan pertanian lebih kepada untuk cukup makan sahaja.

2.5.          KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, walaupun pada mulanya ekonomi di Klang dikuasai dan dimulai oleh orang Melayu, namun setelah British menjajah Klang berlaku pelbagai perubahan. Contohnya, ekonomi perlombongan bijih timah yang dilakukan oleh orang Melayu dengan cara mendulang telah tenggelam setelah kedatangan orang Cina yang membawa bersama teknologi yang lebih canggih dan cepat. Selain itu, peningkatan kemasukan orang Cina, India dan golongan Jawa juga telah menyebabkan penduduk Melayu semakin terpinggir ditambah pula dengan dasar kolonial yang diperkenalkan oleh British. Sememangnya British ingin mengabaikan orang orang Melayu dengan harapan supaya mereka terus tinggal sebagai penduduk kampung dengan kehidupan   secukup hidup sahaja31 Dengan ini, orang Melayu akan terus berada di bawah pentadbiran dan jajahan British seterusnya memudahkan British membolot ekonomi yang terdapat di Tanah Melayu satu persatu.

1              J.M.Gullick. 2000.
A History of Kuala Lumpur 1857-1939. Kuala Lumpur: Council of the Malaysian Branch of Royal Asiatic society. Hal 5.

2.             Mohd Sarim Hj Mustajab & Khazin Mohd Tamrin. 1990. Klang 1890-1900: Sejarah dan Pentadbiran Selangor:United Selangor Press Sdn.Bhd. hal 60.

3              Adnan Haji Nawang & Mohd. Fadzil Othman. 1992. Selangor: Sejarah dan Proses Pembangunannya Selangor:Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Lembaga Muzium Sulan Alam Shah. Hal 41.

4              Dato Dr. Suleiman Mohamad & Lokman Haji Mohd. Zen. 1999. Sejarah Kampung Bahru: Di Sini Awal Segalanya Bermula. Bangi: Institut Alam Tamadun Melayu(ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Hal 20-21.

5.             Prof. Dato Khoo Kay Kim & Paiman Bin Keromo. 1989. Selangor Darul Ehsan: Satu Persepsi Sejarah Selangor:Muzium Negeri Selangor. Hal 23

6.         Mohd Sarim Hj Mustajab & Khazin Mohd Tamrin. 1990. Klang 1890-1900: Sejarah dan Pentadbiran. Hal 74.

7          Joginder Singh Jessy. 1978. Sejarah Tanah Melayu (1400-1959). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.  Hal135.

8          Adnan Haji Nawang & Mohd. Fadzil Othman. 1992. Selangor: Sejarah dan Proses Pembangunannya Hal 43.

9          Ibid . hal 186-187

10         J.M. Gullick. 1994.Old Kuala Lumpur. New York: Oxford University Press. Hal 1

11         Adnan Haji Nawang & Mohd. Fadzil Othman. 1992. Selangor: Sejarah dan Proses Pembangunannya  Hal 187.

12         Dato Dr. Suleiman Mohamad & Lokman Haji Mohd. Zen. 1999. Sejarah Kampung Bahru: Di Sini Awal SegalanyaBermula  Hal 38

13         Ibid  Hal 37.

14         Mohd Sarim Hj Mustajab & Khazin Mohd Tamrin. 1990. Klang 1890-1900: Sejarah dan Pentadbiran        Hal 77.

15         Dato Dr. Suleiman Mohamad & Lokman Haji Mohd. Zen. 1999. Sejarah Kampung Bahru: Di Sini Awal SegalanyaBermula. Hal 54.

16         Ibid . Hal 54.

17         Ibid . Hal 57.

18         Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya. 1983. Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillan Publishers(M)Sdn. Bhd. Hal 204.

19         Ibid . Hal 204.

20        Ibid . Hal 210.

21         J.M.Gullick. 1998. A History of Selangor(1766-1939). Kuala Lumpur: Falcan Press Sdn. Bhd as MBRAS. Hal 188.

22        Dato Dr. Suleiman Mohamad & Lokman Haji Mohd. Zen. 1999. Sejarah Kampung Bahru: Di Sini Awal SegalanyaBermula. Bangi. Hal 37.

23        Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia 1791-1965 . 2008. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara MalaysiaBerhad. Hal xxx-xxxi.

24        Ibid . hal xxxi.

25        Dato Dr. Suleiman Mohamad & Lokman Haji Mohd. Zen. 1999. Sejarah Kampung Bahru: Di Sini Awal SegalanyaBermula. Hal 39.

26        Ibid . Hal 75.

27        Adnan Haji Nawang & Mohd. Fadzil Othman. 1992. Selangor: Sejarah dan Proses Pembangunannya . Hal 181

28        Dato Dr. Suleiman Mohamad & Lokman Haji Mohd. Zen. 1999. Sejarah Kampung Bahru: Di Sini Awal SegalanyaBermula. Hal 57

29        Mohd Sarim Hj Mustajab & Khazin Mohd Tamrin. 1990. Klang 1890-1900: Sejarah dan Pentadbiran. Hal 63.

30        Khazin Mohd Tamrin. 1984.  Orang Jawa di Selangor: Penghijrahan dan Penempatan 1880-1940. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka. Hal 99

31         Mohd Sarim Hj Mustajab & Khazin Mohd Tamrin. 1990. Klang 1890-1900: Sejarah dan Pentadbiran Hal 87.


RUJUKAN: :-
Adnan Haji Nawang & Mohd. Fadzil Othman. 1992.
Selangor: Sejarah dan Proses Pembangunannya. Selangor: Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Lembaga Muzium Sultan Alam Shah.

Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya. 1983.
 Sejarah Malaysia .Petaling Jaya:Macmillan Publishers(M) Sdn. Bhd.

Dato Dr. Suleiman Mohamad & Lokman Haji Mohd. Zen. 1999.
Sejarah Kampung Bahru: DiSini Awal Segalanya Bermula.
Bangi: Institut Alam Tamadun Melayu(ATMA), UniversitiKebangsaan Malaysia.

J.M. Gullick. 1994.
Old Kuala Lumpur New York: Oxford University Press.

J.M.Gullick. 1998.
A History of Selangor(1766-1939).Kuala Lumpur: Falcan Press Sdn. Bhd as MBRAS.

J.M.Gullick.2000.
A History of Kuala Lumpur 1857-1939  Kuala Lumpur:  Council of the Malaysian Branch of Royal Asiatic society.

Khazin Mohd Tamrin. 1984.
Orang Jawa di Selangor: Penghijrahan dan Penempatan 1880-1940
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
.
Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia 1791-1965.2008. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Joginder Singh Jessy. 1978.
Sejarah Tanah Melayu (1400-1959) Kuala Lumpur: Dewan Bahasadan Pustaka.
 
Mohd Sarim Hj Mustajab & Khazin Mohd Tamrin. 1990.
Klang 1890-1900: Sejarah dan Pentadbiran. Selangor: United Selangor Press Sdn.Bhd..

Prof. Dato Khoo Kay Kim & Paiman Bin Keromo. 1989.
Selangor Darul Ehsan: Satu PersepsiSejarah.
Selangor: Muzium Negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment