Monday, 15 October 2012

Sejarah Pembukaan Penempatan Orang Jawa di Selangor

"Bro bro pro jawa, warga Kampung Padang Jawa yang tulis 
profail kampung, selepas membaca rencana ini sila emel kepada saya yang
 berhijrah itu adakah pendekar yang handal atau pencari pekerjaan atau pencari pelajaran."  

Sejarah Pembukaan Penempatan Orang Jawa di Selangor   

 Oleh : Harith Faruqi Sidek  

Hubungan Tanah Melayu dengan Pulau Jawa telah bermula sejak kurun ke-14 lagi, sepertimana diceritakan dalam naskah lama "Sejarah Melayu" dan "Hikayat Hang Tuah". Sebagai contoh pertembungandiantara Taming Sari dengan pahlawan lagenda melayu, Hang Tuah. Catatan oleh Tom Pires turut menyatakan bahawa telah ada perkampungan orang jawa dizaman Kesultanan Melayu Melaka, catatan beliau antara lain ada menyebut nama-nama penempatan seperti Kampung Jawa dan Parit Jawa. Menurut Noriah Mohamed (2001:13), Pulau Jawa merupakan 7% daripada keseluruhan kepulauan Indonesia dengan kepadatan penduduk sekitar 60 juta orang, dan dipercayai proses migrasi orang jawa ke Tanah Melayu telah bermula sejak 1870an lagi.

Merantau atau Minggat
Menurut Khazin Mohd. Tamrin (1978), penghijrahan orang Jawa ke Tanah Melayu adalah melalui dua keadaan, iaitu;
Merantau : Orang Jawa merantau ke Tanah Melayu atas banyak sebab,antaranya untuk memperbaiki taraf hidup, sama ada dengan bekerja dengan pedagang asing yang berlayar diantara kawasan di Nusantara atau berniaga sendiri. Tidak kurang juga orang Jawa yang merantau ke Tanah Melayu atas tujuan mempelajari ilmu atau mengembangkan ilmu.
Minggat : Faktor ini ialah atas sebab melarikan diri dari sesuatu perkara yang berlaku keatas diri mereka sewaktu di tanah leluhur mereka. Antara faktor yang boleh disabitkan ialah atas sebab persengketaan politik, jenayah atau isu kekeluargaan.

Terdapat juga orang jawa yang datang ke Tanah Melayu secara paksa,iaitu diculik oleh sindiket pedagangan manusia yang menyediakan bekalan buruhkepada pedagang yang berlabuh di Tanah Melayu. Diceritakan orang jawa yang menjadi mangsa penculikan ini akan dibawa ke Singapura untuk dijadikan buruh. Terdapat juga kes dimana orang-orang jawa yang mahu mengerjakan haji telah ditipu oleh para sendiket ini, mereka tidak dihantar ke tanah suci untuk mengerjakan haji,sebaliknya dijual kepada peladang-peladang di Negeri- negeri Melayu Bersekutu.(Khazin Mohd. Tamrin ,1978:710).
Namun ada juga faktor lain yang membawa orang jawa berhijrah ke Tanah Melayu seperti mana yang disebut oleh Nelmawarni dan Nordin (2011), Penghijrahan orang jawa dari kepulauan Nusantara adalah kerana mencari pekerjaan, antara jenis pekerjaan yang dilakukan ialah buruh kontrak, buruh bebas atau sebagai peneroka tanah. Malah ada juga dikalangan orang jawa di Tanah Melayu yang berhijrah secara tidak dirancang, contohnya mereka yang singgah di Pulau Pinang dan Singapura sewaktu dalam perjalanan untuk menunaikan ibadah haji ke Mekah, ada diantara mereka ini tidak meneruskan perjalanan atau pelayaran ke Mekah, sebaliknya berubah fikiran lalu menetap terus di Tanah Melayu, dan ada juga yang tinggal terus di Tanah Melayu selepas pulang dari mengerjakan Haji.
Jika dibandingkan dengan orang Minangkabau yang turut sama berhijrah ke Tanah Melayu, Orang jawa dilihat lebih cenderung bekerja dengan kerajaan, sementara orang Miangkabau lebih suka berniaga, malah budaya “makan gaji” adalah tidak digalakkan / disukai oleh orang Minangkabau yang merantau. Namun orang Jawa yang bekerja sebagai buruh ini telah menyebabkan populasi mereka tersebar ke seluruh jajahan koloni inggeris dan Belanda, dari Tanah Melayu, Afrika Selatan (dibawa oleh Belanda) malah hingga ke kepulauan Carribean.
Penghijrahan orang jawa di Selangor
Pada sekitar tahun1890an, masyarakat melayu yang menetap di Kuala Lumpur adalah terdiri daripada pedagang daripada Sumatera dan Jawa (Gullick, 1993:34). Di daerah Klang, telah dikesan aktiviti perdagangan yang diketuai oleh pedagang jawa yang diketuaioleh Syeikh Mohd Taib (MISC 183/80 Kuala Lumpur). Pada tahun 1930an, kebanyakkan peniaga melayu yang berniaga di kawasan Batu Road, Melaka Streetdan Malay Street adalah terdiri daripada orang Jawa dari Sumatera. Masyarakat jawa di Selangor kebanyakkannya memilih penempatan di kawasan pertanian, mereka memilih cara hidup dengan bercucuk tanam dan berkebun. (Noriah Mohamed,2001:223)
Faktor perkembangan pesat industri pelombongan bijih timah di kawasan lembah Sungai Kelang juga telah menarik penghijrahan ramai orang jawa ke daerah ini. Berbanding dengan orang cina dari tanah besar, orang jawa ini menjalankan kegiatan melombong bijih timah secara kecil kecilan di kawasan pendalaman.(Khazin, 1978:73).
Menurut Noriah Mohamed(2001:147), kawasan yang dikesan mempunyai penduduk berketurunan jawa yang ramai di Selangor ialah
1. Tanjung Karang
2. Tanjung Karang
3. Sabak Bernam
4. Kuala Selangor
5.Kelang
8.Banting ( Kuala Langat)
9.Sepang
Membuka penempatan di Daerah Klang
Dalam laporan Pegawai Daerah Klang sewaktu melawat Teluk Menegun dan Kampung Jawa dalam tahun 1890, beliau ada mencatatkan penemuannya tentang kawasan penempatan yang dibuka oleh orang Jawa. Hasil temuramah dengan beberapa orang penduduk lama serta waris kepada peneroka kawasan yang asal, Khazin Mohd Tamrin( 1978: 77) telah menemui maklumat tentang asal usul pembukaan beberapa kawasan penempatan di Klang. 
a)  Kampung Jawa

Meskipun kebanyakkan penempatan di Negeri Selangor dibuka oleh orang Bugis yang merantau, tetapi terdapat juga bukti penempatan yang dibuka oleh orang Jawa yang berhijrah ke Selangor, terutamanya di Klang. Menurut Khazin (1978:73), Kampung Jawa telah dibuka sekitar tahun 1860an, antara nama yang disebut sebagai pelopor pembukaan kawasan ini ialah Haji Hussein dan Haji Mohammad Tahir yang berasal dari BatuBara, Sumatera. Kawasan ini dikatakan telah dibuka sekitar tahun 1875 oleh Haji Latiff yang  dikatakan berasal dari Semarang.( Khazin, 1978: 73).

a) Bukit kapar.
Kawasan ini dikatakan telah dibuka dalam tahun 1920an lagi, ianya diketuai oleh Abdul wahid b. Ahmad.
b) Meru.
Meru telah dibuka oleh Haji Shariff bin Haji Abdul Razak sekitar tahun 1909. Maklumat ini disampaikan oleh anak beliau yang menjadi Ketua Kampung dalam satu temuramah pada 21 April 1974.
c) Kampung Rantau Panjang
Kawasan penempatan ini telah dibuka oleh Haji Siraj bersama sahabatnya Haji Hassan pada tahun 1919.
d) Kampung Sungai Jati
Kawasan Sungai Jati di Jalan Kampung Jawa telah dibuka oleh Haji Sidek dan Haji Mohd Damin.
Penempatan Orang Jawa di Ulu Langat
Di kawasan Ulu Langat juga telah dikesan mempunyai penempatan yang dibuka oleh orang Jawa. Sebuah kawasan perkampungan yang dinamakan Kampung Jawa telah dibuka sekitar tahun 1916 oleh sekumpulan orang Jawa yang dibawa masuk oleh Inggeris. Kumpulan orang Jawa ini pada asalnya bekerja sebagai buruh kontrak di Ladang Kopi di sekitar Pantai Selangor (Khazin, 1978:78). Walau bagaimanapun, tidak dapat dapat dipastikan sama ada penempatan yang dimaksudkan itu adalah sebuah perkampungan kecil yang dibuka oleh orang jawa sekitar tahun 1920, perkampungan ini terletak di Batu18, Jalan Sungai Lui.
Membuka penempatan di Daerah Kuala Selangor
Menurut Khazin Mohd Tamrin(1978:78), perancangan kerajaan British telah menyumbang kepada penghijrahan orang Jawa ke Daerah Kuala Selangor. Penghijrahan ke kawasan seperti Tanjung Karang dan Sabak Bernam adalah disebabkan oleh aktiviti pertanian seperti padi dan kelapa yang mereka usahakan. Penghijrahan yang berlaku sekitar tahun 1930an ini bukan sahaja melibatkan orang jawa yang datang dari Pulau Jawa, tetapi juga mereka yang telah menetap di kawasan berhampiran, umpamanya dari Hilir Perak. Walaubagaimanpun, sebelum adanya penghijrahan besar-besaran ini, sebilangan kecil orang jawa telah pun ada di Sabak Bernam.Generasi pertama orang Jawa di Sabak Bernam ini menyara hidup sebagai pekebun kecil dan dipercayai mula berada dikawasan tersebut 20 tahun lebih awal, iaitu sekitar 1910.(Khazin Mohd Tamrin,1978:79).
Kampung Api-api dalam Daerah Kuala Selangor dikatakan telah dibuka oleh orang jawa yang berasal dari Banyumas, kumpulan orang-orang jawa ini diketuai oleh Tuan Haji Abdul Moin.Penerokaan mereka sehingga wujudnya Kampung Api-api adalah berdasarkan geran tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan British yang bertarikh 1901, tetapi anggaran tahun kampung ini dibuka adalah berdasarkan usia pokok kelapa yang ditanam oleh orang-orang jawa dikawasan itu yang dianggarkan telah mencapai usia 30 tahun pada ketika itu.
Anak Tuan Haji Abdul Moin, iaitu Tuan Haji Idris Haji Moin bersama sahabatnya, Salamenko pula bertanggungjawab meneroka kawasan Pasir Tuntong. Salamenko kemudiannya telah berhijrah keluar dari kawasan Pasir Tuntong, lalu membuka penempatan di Sungai Yu. Seterusnya kawasan-kawasan lain turut dibuka oleh generasi orang jawa yang seterusnya,seperti penempatan di Kampung Ijok, Bukit Badong dan Bukit Kuching. Kumpulan orang-orang jawa yang membuka penempatan di Daerah Kuala Selangor ini dikatakan berasal dari Daerah Pacitan, Magelang dan Ponorogo. Pada tahun 1945, kampung Batang Berjuntai telah dibuka oleh seorang berketurunan jawa yang bernama Jemain bin Kasok, namun pada ketika itu, kawasan itu lebih dikenali sebagai kampong Jaya Setia atau Batang Trill.
Membuka Penempatandi Daerah Kuala Langat
Antara kawasan yang dilihat menjadi tumpuan penghijrahan orang jawa di Selangor adalah di Daerah Kuala Langat. Dibawah pemerintahan British, perolehan atau penerokaan tanah harus dilakukan dengan rasmi, iaitu dengan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Inggeris.Meskipun mendapat persaingan daripada penduduk tempatan dalam memperolehi hak penerokaan kawasan di Daerah Kuala Langat, British dikatakan cenderung memberi permit atau kebenaran kepada orang-orang Jawa berbanding orang tempatan, malah dari kacamata British, orang-orang jawa yang berhijrah ini disifatkan sebagai “The Best Colonist”. Merujuk kepada Khazin Mohd Tamrin (1978:76), sehingga 1888, beberapa buah penempatan di Daerah Kuala Langat ini telah dibuka oleh orang jawa, antaranya Kelanang yang dibuka oleh Haji Kiai Kadir dan Tanjung Dua oleh Encik Sadik.
Khatimah
Meskipun telah berada di daratan yang baru, orang jawa yang berhijrah ke Tanah Melayu ini dilihat masih setia membawa bersama adat dan budaya leluhur mereka, amalan seperti rewang, kondangan dan sebagainya masih jelas diamalkan di kebanyakkan penempatan yang mereka buka. Selain daripada itu, kaedah pemilihan ketua bagi sesebuah penempatan mempunyai kelainan diantara satu kawasan dengan kawasan yang lain,contohnya di beberapa penempatan di Klang, seseorang pemimpin kampung atau lurah dipilih dari kalangan mereka yang mula-mula membuka penempatan tersebut. Satu lagi kaedah memilih lurah adalah melantik mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi berbanding kebanyakkan orang didalam penempatan tersebut, biasanya ilmu agama dan ilmu yang berkaitan dengan kemahiran hidup.

Rujukan :
Khazin Mohd. Tamrin.(1978). Orang Jawa di Selangor Kedatangan dan Penempatan.Jebat (7/8), 68 - 85.
Khazin Mohd. Tamrin (1984). Orang Jawa di Selangor: Penghijrahan danPenempatan 1880 – 1940. Kuala Lumpur: DBP. (Kat D 595.2 .J4.K45 n.5)
Koleksi Cerita Rakyat : Daerah Kuala Selangor. (2006). Selangor: Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN).
Nelmawarni Bungo & Nordin Hussin. (2011).Merantau ke Kuala Lumpur: Tradisi merantau dan berdagang masyarakat Minang. Geografia,7, 116 - 131.
Noriah Mohamed. (2001). Jawa Di Balik Tabir. Bangi: Penerbit UKM. ( 42 PL 5161.N67 n.5)
Omar Yusoff & Noriah Mohamed.(2010). Daripada Jawi Peranakan kepada Melayu: Tinjauan terhadap Komuniti Jawi Peranakan di Pulau Pinang pada Abad ke-21. SARI, 28 (2), 63 - 82.

1 comment:

  1. Kg Rantau Panjang juga dibuka oleh org Palembang. Di wakafkan tanah kubur, masjid (lama) dan sekolah (sekarang jadi Bengkel MARA setelah sekolah berpindah) oleh orang Palembang. Ada juga Jln Palembang di Rantau Panjang

    ReplyDelete