KLANG dipercayai 
telah wujud sekitar 2,500 tahun dahulu berdasarkan penemuan artifak yang
 dikaitkan dengan masyarakat pada Zaman Logam. Tapak-tapak Zaman Logam 
yang ditemukan di Selangor termasuk di Klang kebanyakannya didakwa wujud
 sejak Zaman Neolitik lagi. 
Namun, rentetan daripada kegiatan 
perdagangan yang dijalankan, di samping hubungan dengan masyarakat luar 
dan inovasi dalam menghasilkan alatan besi membolehkan masyarakat 
tempatan berevolusi daripada masyarakat Neolitik kepada masyarakat Zaman
 Logam.
Justeru, Klang dikatakan antara 
petempatan awal yang wujud di Selangor dan dipercayai muncul lebih awal 
daripada Melaka. Melihat catatan yang mula-mula ditulis mengenai Klang, 
bandar diraja itu dikatakan bermula pada Zaman Kerajaan Majapahit iaitu 
kira-kira 600 tahun dahulu. 
Dalam pada itu, 
sebelum Kesultanan Selangor diasaskan, sudah ada pemerintah yang 
mentadbir Klang. Tun Perak yang merupakan anak kepada Bendahara Melaka, 
Tun Perpatih Sedang dilantik sebagai Penghulu Klang oleh Sultan Melaka, 
Sultan Muzaffar Shah Melaka (1446-1459) pada tahun 1446.
Selepas
 kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511, kesetiaan 
pemerintahan jajahan Selangor beralih kepada Johor yang menyaksikan 
Sultan Mahmud dan pengikut setianya menubuhkan kerajaan dalam buangan di
 Kepulauan Bintan.
Pada zaman pemerintahan 
sultan pertama Johor Lama iaitu Sultan Alauddin Shah, Klang telah 
mempunyai pemerintah yang dikenali dengan gelaran Mandulika. Dato’ Engku
 Kelang kemudian dihantar ke Klang untuk mentadbir wilayah tersebut.
Sumber : Utusan Online 19 Disember 2015 

 
No comments:
Post a Comment