Wednesday, 22 October 2014

Kapal Haji

Fakta ini saya dapat difacebook dan di internet


KENANGAN KAPAL HAJI

Dulu, manusia menyeberangi lautan untuk sampai ke Tanah Suci Makkah dengan kapal laut. Sepurnama baru sampai. Kemudian tinggal di Madinah dan Makkah selama sepurnama dan perjalanan pulang juga mengambil masa yang sama yakni sepurnama. Keseluruhan perjalanan mengambil masa kurang lebih 3 purnama lamanya. Bergolok bergadai dan bersusah payah mereka demi menyempurnakan ibadah Haji yakni Rukun Islam yang kelima. Kapal Haji pula macam-macam namanya. 

Nama-Nama Kapal Haji- Mendam Berahi (abad ke-15)
- Subulus Salam (1854),
- Antirorchus (1936), Bellophon (1936), Cyclops (1936) dan Potesilaus (1936)
- Agamemnon, Adratus, Atreus, Ajax, Eurubates, Glaucus, Idomeneus (1940-an)
- Prometheus (1950-an),Malaysia Kita, Malaysia Raya dan Kuala Lumpur (1970-an).

 Kesibukan jemaah sebelum berlepas
Kesibukan jemaah sebelum berlepas.
Keadaan kapal laut yang membawa jemaah dari Indonesia dan Malaysia ke Pelabuhan Jeddah, Arab Saudi. Dari sana, jemaah langsung ke Madinah dan Makkah

Kapal "Malaysia Kita"

Nama asal kapal "Malaysia Kita" ialah "Vietnam" dan ia dilancarkan pda 14 Oktober 1951 bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific.
Pada bulan September 1967 nama "Vietnam" ditukar kepada "Pacific" dan menjalankan perkhidmatan Australia - Tahiti.
Pada tahun 1967 kapal ini dibeli oleh syarikat Great Malaysian Lines dan namanya ditukar kepada "Malaysia Kita" dan digunakan untuk mengangkut Jemaah Haji dari Malaysia ke Jeddah. Nasib malang menimpa kapal ini di mana ia mengalami kebakaran pada tahun 12 Mei 1974 ketika sedang berlabuh di Teluk Katong, Singapura dan akhirnya tenggelam.

Kapal "Malaysia Raya"

Nama asal kapal "Malaysia Raya" ialah "Laos" dan ia mula dilancarkan pada 21 Disember 1952. Sebagaimana "Vietnam", Laos ialah milik Messageries Maritimes bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific.
Pada tahun 1971 "Laos" dibeli oleh syarikat Great Malaysia Line untuk dijadikan "Kapal Haji" dan ditukar namanya kepada "Malaysia Raya". Kapal ini juga mengalami nasib yang sama dengan "Malaysia Kita" iaitu mengalami kebakaran pada 23 Ogos 1976 di Pelabuhan Kelang dan tenggelam.
Dan kemudian itulah, sistem penerbangan diperkenalkan oleh kita semua dan sistem pengangkutan laut terus dilupakan.


NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN) menulis pada 23 Disember 2003 :-

PASTI tidak ramai yang tahu pada kurun ke-15, sebuah kapal kargo yang namanya Mendam Berahi telah digunakan untuk membawa jemaah haji Malaysia ke tanah suci Mekah. Malah bermula dari tahun 1936 hingga 1950, sebuah syarikat yang dikenali sebagai Blue Funnel Line telah menyediakan 21 buah kapal laut dengan pelbagai nama untuk membolehkan umat Islam di negara ini menunaikan Rukun Islam kelima.
Ketika itu nama-nama seperti Agamemmon, Tyndreus, Teucer dan Prometheus walaupun kedengaran agak pelik tetapi begitu popular lantaran menjadi satu-satunya alat pengangkutan yang mampu memenuhi impian umat Islam.
Pada tahun 1951 dan 1952, kapal yang membawa jemaah haji negara ini dikenali sebagai Anshun dan Anking, kedua-duanya dimiliki oleh China Navigation Line. Sememangnya nama-nama yang digunakan kedengaran asing di kalangan rakyat negara ini tetapi fungsinya begitu bermakna. Bagaimanapun menjelang tahun 1970, nama-nama seperti Malaysia Kita, Malaysia Baru/Ratu Timur, Malaysia Raya dan Kuala Lumpur mula digunakan pada kapal-kapal yang dikendalikan oleh syarikat Great Malaysia Line.
Apa pun nama yang digunakan, kapal laut merupakan satu-satunya pilihan yang ada bagi umat Islam di negara ini dan kebanyakan negara lain untuk menunaikan fardu haji.
Walaupun terpaksa mengambil masa kira-kira sebulan untuk perjalanan pergi dan balik ke tanah suci, jumlah umat Islam di negara ini yang menunaikan fardu haji sentiasa bertambah kecuali untuk waktu-waktu tertentu seperti ketika meletusnya dua perang dunia.
Tiada siapa mampu menafikan, jemaah haji yang menggunakan perkhidmatan kapal laut terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesukaran baik sebelum memulakan perjalanan apatah lagi ketika mengharungi laut yang sentiasa terdedah kepada cuaca buruk. Jemaah haji yang kebanyakan telah lanjut usia terpaksa bersesak-sesak dalam sebuah kapal yang kebiasaannya tidak menawarkan kemudahan mencukupi terutama dari sudut kesihatan dan kebersihan.
Apa pun juga, kesukaran-kesukaran yang terpaksa dilalui oleh jemaah haji itu tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk beribadah kepada Allah, malah tempoh lebih dua minggu berada di atas kapal digunakan untuk beribadat dan mendekatkan diri dengan Allah.
Jaafar Jusoh, salah seorang jemaah haji pada tahun 1960-an seperti yang dilaporkan dalam buku Sejarah Perkembangan Tabung Haji pernah berkongsi pelbagai masalah serta kesukaran yang terpaksa dilalui oleh jemaah haji seperti ditimpa hujan, dibakar panas matahari serta kesukaran mendapat bekalan air bersih. Walaupun jangka waktu pelayaran dari tahun ke tahun mampu dikurangkan hingga ke 12 hari tetapi ia sama sekali tidak mengurangkan senarai masalah yang harus dilalui oleh jemaah haji.
Jemaah haji kelas deck paling terdedah kepada masalah perubahan cuaca sepanjang pelayaran. Jika hujan lebat mereka yang terkena tempiasnya manakala panas terik pula akan membakar seluruh badan mereka.
Selain masalah seperti mengumpul wang, menentukan atau memilih agen dan mendapatkan atau membeli tiket kapal haji, menyediakan barang atau bekalan, masalah pengangkutan dan penginapan tempatan adalah perkara-perkara yang menuntut kesabaran tinggi di kalangan jemaah haji yang tinggal jauh dari pelabuhan Singapura, Klang/Port Swettenham dan Pulau Pinang.
Di samping terpaksa mendapatkan pengangkutan sendiri untuk sampai ke pelabuhan berkenaan, mereka terpaksa pula menunggu beberapa hari untuk menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan dengan tiket, pasport dan penghantaran barang keperluan serta bekalan.
Pada setiap musim haji jumlah kaum keluarga yang turut menghantar jemaah adalah jauh lebih ramai daripada mereka yang pergi menunaikan fardu haji. Begitu juga ketika jemaah pulang dari tanah suci, jumlah keluarga terdekat yang menyambut kepulangan mereka tidak kurang ramainya.
Kesesakan turut berlaku di pelabuhan-pelabuhan yang berkenaan malah di kawasan sekitarnya sehingga kadangkala berlaku kemalangan yang berpunca dari kesesakan. Masalah ini sedikit sebanyak berlanjutan sehingga ke hari ini.
Pada akhir tahun 1947, terdapat satu insiden di mana sebuah kapal yang dikenali sebagai Agamemnon telah dikuarantin di Pulau Jerjak sebelum berlabuh di Pulau Pinang. Ini kerana pihak Lembaga Kesihatan Pelabuhan Pulau Pinang berpendapat mungkin ada jemaah haji yang menjadi pembawa penyakit.
Suka duka yang terpaksa dilalui oleh jemaah haji ketika itu sememangnya menarik perhatian pelbagai pihak kerana terdapat jemaah haji yang menemui maut bukan kerana menghadap kesukaran dalam kapal tetapi disebabkan oleh urusan pemindahan jemaah dari Pulau Jerjak ke Pulau Pinang yang tidak cekap.
Pemergian ke tanah suci Mekah menggunakan kapal terbang mula diperkenal pada musim haji pada tahun 1970. Menerusi pembaharuan ini, pelbagai masalah yang timbul dalam perjalanan menggunakan kapal laut telah termansuh dengan sendiri. Hakikatnya menunaikan ibadah di tanah suci dengan menaiki kapal terbang adalah lebih mudah, selesa dan sungguh menjimatkan terutama dari segi masa perjalanan. Jika menggunakan kapal laut pelayaran pada abad ini mengambil masa kira-kira dua minggu tetapi dengan kapal terbang ia hanya memerlukan antara lapan hingga sembilan jam sahaja.
Ketika perkhidmatan kapal terbang diperkenalkan, hanya 1,131 dari 9,702 jemaah yang menggunakan perkhidmatan tersebut sedangkan 8,571 lagi telah pergi melalui kapal laut. Bagi tahun-tahun berikutnya, permintaan terhadap perkhidmatan kapal terbang masih rendah. Misalnya pada tahun 1974 dan 1975, daripada kira-kira 15,000 jemaah yang menunaikan fardu haji, 10,000 daripadanya menggunakan kapal laut. Bagaimanapun jumlah tersebut berkurangan pada tahun 1976 sehingga akhirnya pada 1397/1977 tiada lagi jemaah yang berdaftar dengan tabung haji pergi melalui kapal laut.
Ternyata kesedaran di kalangan jemaah haji tentang hakikat kepentingan serta keselesaan pemergian melalui kapal terbang semakin meningkat. Dalam kapal terbang mereka diberi layanan baik dan tidak perlu berpusu-pusu atau beratur untuk mendapatkan makanan seperti yang lazim berlaku dalam kapal laut.
Secara keseluruhan pemergian melalui kapal terbang adalah memuaskan, demikian juga keadaan semasa dalam penerbangan pulang ke tanah air. Jarang sekali rungutan kedengaran dari jemaah haji mengenai layanan mahu pun keadaan serta hidangan yang diberikan semasa dalam penerbangan.

No comments:

Post a Comment