Apa kah Ini Orangnya Yang Menewaskan Wak Kairan atau Sakiran?
Janganlah malu dan segan, bacalah kisahnya dibawah ini wahai Tok Ketua @ Tok Juara Kat Kampung Ku.
Saya pernah menulis
dilaman ini pada 11/10/2012 bertajuk :- Kenyataan En Safie b Alwi Cucu Tok
Tahir Bahawa Wak Kairan Bukan Peneroka Awal Kampung Padang Jawa, dan Tewas Kehebatan
Persilatannya Kerana Racun Ilmu Kebatinan ditangan Tengku Mahmud. Saya telah
mendapat beberapa email mengenai nama tersebut lalu
saya melayari beberapa laman diinternet yang mempunyai kaitan dengan nama
tersebut. Maka inilah hasilnya
Tengku Mahmud Zuhdi - Syeikhul Islam Selangor
Ulama Nusantara - Oleh Wan Mohd Shaghir Abdullah
NAMA
lengkapnya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin
Tengku Abdur Rahman bin
Tuanku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Ayahnya adalah
Raja Jambu, Patani yang ditangkap oleh Siam dan ditempatkan di istana
tersendiri di Ban Sim Dip, Bangkok. Ibunya bernama Kalsum binti Haji Sa'ad,
berasal dari India.Tengku Mahmud lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, pada tahun 1293 Hijrah/1876
Masihi. Beliau meninggal dunia di Mekah pada tanggal 6 Rabiulawal 1376 Hijrah/10
Oktober 1956 Masihi.
Walaupun
berada di dalam keadaan sangat darurat di dalam tahanan, namun ayahnya sempat
mengajar Tengku Mahmud ilmu-ilmu asas Islam tradisi Patani dan pengetahuan adab
raja-raja Melayu. Tengku
Mahmud juga sempat belajar kepada Syeikh Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani di
Thait (pinggiran Bangkok). Ketika berusia antara 8 - 9 tahun (1302 Hijrah/1885
Masihi), dalam keadaan sukar, Tengku Mahmud berhasil dikirim ke Mekah. Di
Mekah, diserahkan sekalian urusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh
Ahmad al-Fathani mendidiknya sendiri dan memasukkannya ke Maktab Saulatiyah,
yang diasaskan oleh orang India. Dengan demikian Tengku Mahmud memperoleh dua
sistem pendidikan, iaitu sistem tradisional pondok dan sistem persekolahan.
Beliau
adalah murid yang paling cemerlang di sekolah itu. Oleh kerana itu beliau
diminta mengajar di sekolah tersebut pada tahun 1895. Syeikh Ahmad al-Fathani
mendesak Tengku Mahmud supaya melanjutkan pelajarannya ke Mesir bersama Syeikh
Muhammad Nur al-Fathani, Syeikh Tahir Jalaluddin Minangkabau dan lain-lain pada
tahun 1900.
Di Mesir
beliau hanya memperdalam pelbagai ilmu yang telah dipelajarinya di Mekah,
terutama ilmu falakiyah dan ilmu khat. Pada tahun 1905, Tengku Mahmud lulus
peperiksaan Hasyimiyah (Syarif Husein) dengan memperoleh Syahadah al-Kubra dan
memperoleh kebenaran mengajar di Masjidil Haram, Mekah.
Sungguhpun
Tengku Mahmud telah mengajar di Maktab Saulatiyah dan Masjidil Haram, namun
beliau sentiasa memperdalam ilmu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani terutama ilmu
sastera Arab. Beliau juga menerima bai`ah Thariqat Syathariyah dan Thariqat
Syaziliyah daripada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Selain pendidikan yang
telah disebutkan, agak kebelakangan Tengku Mahmud juga belajar kepada Syeikh Mukhtar
`Atharid Bogor.
KERABAT
DIRAJA SELANGOR
Tengku
Mahmud berhijrah dari Mekah ke Jambi, Sumatera. Beliau sampai di Jambi pada
hari Khamis, 6 Rabiulawal 1344 Hijrah/23 Oktober 1925 Masihi. Di sana beliau
mendirikan sekolah Arab di sebuah tempat yang bernama Tahtul Yaman. Apabila
Sultan Sulaiman Syah mendengar ulama tersebut berada di Jambi, baginda sendiri
datang ke Jambi mengajak Tengku Mahmud supaya pindah ke Selangor. Tengku Mahmud
berangkat ke Klang pada tahun 1929. Pada mulanya beliau dilantik sebagai
Penasihat Agama Selangor, selanjutnya menjadi Syeikhul Islam Setia Diraja
Selangor. Di Selangor Tengku Mahmud berkahwin dengan Tengku Hajah Safiah,
puteri Sultan Abu Samah bersama isterinya Tengku Kubis. Tengku Mahmud berkahwin
beberapa kali, isterinya di Kelantan bernama Tengku Maryam. Di Kedah beliau
berkahwin dua kali dan di Patani sekali.
Anak
perempuannya yang bernama Tengku Aminah (tidak jelas daripada isterinya yang
mana) berkahwin dengan Tengku Badli Syah (Tengku Laksamana Selangor) ibni
Sultan Hisyamuddin Alam Syah.
MURID-MURIDNYA
Di kalangan kerabat Diraja Selangor termasuk Sultan Sulaiman
(mangkat 1937), putera baginda Tengku Haji Ibrahim Syah (Tengku Sri Wangsa)
adalah murid Tengku Mahmud Zuhdi. Selain itu, Tengku Mahmud telah mencetuskan
idea sehingga berdirinya madrasah di Klang yang bernama Marta' al-Ulum
ad-Diniyah (1933 sampai tahun 1945). Pada tahun 1945, madrasah ini terpaksa
ditutup kerana perang dunia ke-II. Setelah peperangan selesai madrasah tersebut
dibuka kembali dengan mudirnya Hj. Abdul Ghani bin Hj. Othman. Selanjutnya ia
dipimpin oleh Sayid Abdul Aziz asy-Syami al-Masri dan nama madrasah tersebut
diganti dengan Darul Ulumid Diniyah. Kemudian setelah pimpinannya beralih
kepada Sayid Mahmud `Arif Bukhari, madrasah tersebut kembali kepada nama
asalnya, iaitu Marta' al-Ulum ad-Diniyah.
Seorang
ulama besar berbangsa Arab dan berasal dari Mekah yang pernah belajar kepada
Tengku Mahmud sewaktu di Klang, ialah Sayid Mahmud `Arif al-Bukhari. Ramai para
pentadbir Islam di dalam Selangor yang menjadi murid kepada Tengku Mahmud, di
antara mereka ialah Ustaz Ahmad Dahlan bin Abdul Mannan, bekas Pembantu
Pelajaran Agama di Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Hj. Abdul Jalil Safwan
bin Hj. Abdul Rahman,
bekas Yang Dipertua Persatuan Guru-Guru Islam Selangor (PEGUAM) dan ramai lagi.
Murid Tengku
Mahmud Zuhdi yang mempunyai hubungan dengan golongan korporat pula, seperti
Haji Abdullah bin Faqih, ayah kepada Dato' Hj. Shahrani, D.P.M.S, J.P, F.C.I.T,
Group Excutive Chairman, Shapadu Corporation Sdn. Bhd. Dato' Hj. Shahrani Hj.
Abdullah adalah salah seorang usahawan yang berjaya, berasal dari Selangor dan
beliau berminat terhadap khazanah dunia Melayu.
KARYA-KARYANYA
Tengku Mahmud dapat dikategorikan sebagai ulama dunia Melayu yang mampu
mengarang dalam dwi bahasa; bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antara
karangannya yang telah ditemui disenaraikan sebagai berikut:
1.
Al-Faridatus Saniyah wal Khuthbatul Bahiyah, diselesaikan pada hari Isnin,
akhir Muharam 1321 Hijrah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah,
Mekah 1331 Hijrah. Kata pujian oleh Syeikh Abdullah Daud al-Fathani dan
saudaranya Syeikh Muhammad Nur Daudi al-Fathani. Kandungannya mengenai khutbah
Jumaat. Pada halaman akhir terdapat puisi Syeikh Abdullah Daud Fathani dan
puisi pe-ngarangnya. Kedua-duanya dalam bahasa Melayu.
2. Janiyatus
Tsamarat fi Ta'rifi Ba'dhil Kalimat, diselesaikan di Mekah, Subuh Jumaat, awal
Rabiulawal 1325 Hijrah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah
1325 Hijrah. Kandungannya membicarakan nahu dalam bahasa Arab dan merupakan
syarah Matan al-Ajrumiyah. Pada cetakan ini
terdapat juga tentang ilmu isti'arah karya gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad
Zain al-Fathani.
3. Syarh
Tadrijish Shibyan ila Tasywiqil Bayan, diselesaikan di Mekah, 1330 Hijrah.
Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1332 Hijrah. Pada
bahagian tepi dicetak juga matan ilmu tersebut yang disusun oleh gurunya,
Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kata pujian oleh Saiyid Abdullah bin
Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (Mufti Mekah al-Mukarramah). Kandungannya
membicarakan ilmu isti'arah (bahagian ilmu bayan), ditulis dalam bahasa Arab
dan merupakan syarah karya gurunya, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
4. Tsimarul
Khuthab al-Mahbarah al-Minbariyah, diselesaikan Muharam 1335 Hijrah. Dicetak
oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-Arabiyah. Kandungannya merupakan kumpulan
khutbah dan terdapat berbagai-bagai amalan.
5.
Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar, diselesaikan pada hari Jumaat, 7 likur
Muharam 1339 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah Dar at-Thiba'ah al-Islamiyah,
Patani. Kata pujian oleh Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid Bogor, Syeikh
Abdul Qadir bin Shabir Mandailing, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, Syeikh
Muhammad bin Abdul Qadir al-Fathani, Syeikh Yahya Legih ar-Ramani al-Fathani,
Syeikh Ismail/Pak De `El bin Abdul Qadir al-Fathani, Syeikh Muhammad Nashir
al-Fathani, bertarikh 16 Zulkaedah 1339 Hijrah dan Syeikh Abdul Haq, tahun 1341
Hijrah. Pentashihnya adalah Syeikh Abdullah bin Ibrahim Langgar al-Qad-hi.
Kandungannya menolak beberapa pemikiran Kaum Muda terutama karangan Mufti Haji
Wan Musa Kelantan.
6. Pemudahan
Yang Disayang, diselesaikan pada hari Jumaat, 7 Muharam 1343 Hijrah. Dicetak
oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345 Hijrah /1927
Masihi. Kandungannya mengenai melakukan fidiyah menurut Mazhab Hanafi yang
boleh dipakai dalam Mazhab Syafie.
7. Pegangan
Yang Terutama Pada Sedikit Daripada Pangkal Ugama, diselesaikan pada 10 Syaaban
1352 Hijrah. Dicetak pada hari Rabu, 2 Safar 1353 Hijrah/16 Mei 1934 Masihi,
tanpa disebut tempat mencetaknya. Kandungannya membicarakan akidah.
8. Tamhidul
Manahij al-Adabiyah fi I'rabi Mabanil Ajrumiyah, diselesaikan pada hari Isnin,
10 Zulkaedah 1352 Hijrah. Jilid 1 dan 2 dicetak oleh The New Klang Press,
Klang, pada hari Isnin, 11 Rejab 1352 Hijrah/30 Oktober 1933 Masihi. Jilid 4,
dicetak oleh Persama Press, Penang. Kandungannya mengenai ilmu nahu dan
merupakan huraian Matan Ajrumiyah.
9. Dua
Khutbah Bagi Dua Hari Raya Fitrah Dan Adha, tidak terdapat tahun selesai
penulisan. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Ishlah, Jeddah. Dicetak atas
perbelanjaan pengarang sendiri. Kandungannya mengenai khutbah, doa khatam
al-Quran untuk khanduri/kenduri, talqin mayat dan doa Nisfu Syaaban.
KETURUNAN
Anak Tengku Mahmud yang meninggalkan keturunan ada empat orang; Haji Muhammad, keturunannya di Jambi, Sumatera, Haji Ahmad keturunannya di Jambu, Patani, Tengku Abdul Hamid dan Tengku Aminah, keturunan dua orang yang terakhir ini di Selangor.
Anak Tengku Mahmud yang meninggalkan keturunan ada empat orang; Haji Muhammad, keturunannya di Jambi, Sumatera, Haji Ahmad keturunannya di Jambu, Patani, Tengku Abdul Hamid dan Tengku Aminah, keturunan dua orang yang terakhir ini di Selangor.
Anak Tengku
Mahmud yang menjadi ulama besar dua orang; Haji Muhammad, sangat terkenal di
Jambi. Digelar oleh masyarakat sebagai `Ulama Jubah Hitam'. Yang menjadi ulama
pula ialah Haji Ahmad, Imam Masjid Jambu, Patani dan guru mengajar pelbagai
kitab. Semua anak Tengku Mahmud Zuhdi yang tersebut telah meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment