Sunday, 7 July 2013

Marhaban Ya Ramadhan



Khubah Jumaat Masjid kat tempat aku 5hb Julai 2013.

Bertaqwalah kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita beroleh kejayaan di dunia dan mendapat kebaikan dan keredhaan Allah SWT di akhirat. Pada hari yang mulia ini marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk :-  :“MARHABAN YA RAMADHAN”.   

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya sekali lagi kita berpeluang untuk menyambut kehadiran bulan Ramadhan, bulan yang agung, mulia, istimewa dan barakah. Banyak kelebihan atau fadhilat di dalamnya.  Keistimewaan Ramadhan adalah bulan yang bukan sekadar dipilih oleh Allah untuk kita berpuasa dan disunatkan solat tarawih. Ramadhan juga dipilih Allah untuk diturunkan al-Quran yang menjadi kitab pedoman hidup kita.  Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:- 

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah…”.  

Oleh itu, marilah kita menyambut kehadiran Ramadhan ini dengan beberapa amalan yang di redhai Allah agar suasana penghayatan Ramadhan ini memberi kesan di hati kita.


Para sahabat Nabi Ridwanullahi ‘alaihim sangat gembira di kala menjelangnya Ramadhan dengan rasa syukur dan kesedihan yang mendalam apabila bulan Ramadhan telah berlalu. Digambarkan kesedihan para sahabat di kala bulan Ramadhan berada dipenghujungnya sama seperti ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya malah lebih dari itu lagi. Demikianlah sebagaimana hamba Allah yang hatinya penuh dengan keimanan dan ketaatan apabila berhadapan dengan panggilan Ilahi.

Kita juga sedia maklum bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan ujian bagi segenap umat Islam. Malah ianya sebagai pengukur keimanan seseorang hamba Allah itu sebab ketentuan-ketentuan yang wajib dipatuhi pada saat yang amat berat, dalam keadaan lapar dan dahaga, larangan bercampur suami-isteri di siang hari, menjauhi segala perbuatan yang membatalkan ibadat puasa, meninggalkan ketagihan rokok yang kesemuanya benar-benar terasa berat, apalagi bagi mereka yang lemah imannya. Akan tetapi Allah Maha Bijaksana lagi Maha Adil dengan memberikan keistimewaan kepada hamba-Nya dalam bulan Ramadhan, sebagaimana firman-Nya dalam hadis qudsi :-

“Semua amal manusia baginya, melainkan puasa; maka sesungguhnya puasa itu bagi-Ku dan Aku akan memberi pembalasannya”. (Riwayat al-Bukhari)
 
Beberapa perkara penting dalam mempersiapkan diri menyambut bulan Ramadhan, di antaranya :-


1) Muhasabah dan merenungi diri, kesalahan apakah yang pernah dilakukan dengan  sengaja  sehingga mendatangkan dosa, kemudian diiringai dengan memperbanyak istighfar memohon keampunan Allah, atas segala kesalahan dan dosa yang diperbuat, agar sebelum memasuki bulan Ramadhan kita tidak lagi menanggung dosa-dosa yang lalu.

2) Mengingati ibu bapa dengan menziarahi dan memohon maaf kepada mereka. Gembirakan hati keduanya, jangan dilukai, kerana melukakan hati ibu adalah salah satu perbuatan derhaka, begitu juga kepada bapa. Oleh itu sebelum memasuki bulan Ramadhan sucikanlah diri dari dosa yang telah dilakukan terhadap kedua ibu bapa. Jika keduanya sudah meninggal, ziarahi kubur dan bacakan al-Quran dan doa serta menginfakkan harta dengan niat untuk mereka.



3) Kukuhkan hubungan silaturrahmi terhadap sesama manusia, kerabat dan keluarga serta kepada sahabat handai, untuk mendekatkan hati sesama muslim, saling memaafkan, menghapuskan sebarang sengketa yang ada disepanjang pergaulan. Dengan demikian maka bersihlah diri kita dari sebarang kesalahan dan dosa.



4) Membersihkan diri secara lahiriah atau jasmani adalah sangat penting. Misalnya membersihkan rumah, tempat tinggal dan lain-lainnya, agar benar-benar wujud suasana Ramadhan yang diberkati. Kesan lahiriah adalah suatu jelmaan atau manifestasi dari rohaniah yang memberi kesan di hati, sebagai petanda yang nyata bahawa bulan Ramadhan telah kita muliakan dengan bentuk lahir dan batin.



Di malam bulan Ramadhan, hendaklah kita melaksanakan ibadat Solat Sunat Tarawih. Antara tujuannya ialah supaya tempoh sebulan di bulan Ramadhan, dari siang hingga malamnya dipenuhi dengan amalan ibadat, kerana bulan Ramadhan, bulan yang sangat berkat. Berkat dengan puasa, berkat dengan amalan solat, berkat dengan bacaan al-Quran dan berkat dengan anugerah Lailatul Qadar. Bahkan keberkatan seperti ini tidak mungkin diperolehi dalam bulan-bulan yang lain. Keistimewaan dan keberkatan Ramadhan itu merupakan kurnia Allah bagi semua hamba-Nya, samada lelaki ataupun perempuan. Akan tetapi kurnia itupun tidak akan datang tanpa amalan yang ikhlas dan dengan usaha yang bersungguh-sungguh memohonnya kehadrat Allah SWT.



Fadhilat amalan dalam bulan Ramadhan akan diberikan secara langsung oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beramal kebajikan dengan ikhlas, sehingga menjalani ibadah sebulan penuh menjadi bersihlah jiwa mereka dan kembalilah mereka kepada fitrah yang asal, sebagaimana bayi yang baru dilahirkan. Sabda Nabi s.a.w:
 

“Bulan Ramadhan adalah bulan yang Allah telah mewajibkan atasmu berpuasa; dan aku mensyari’atkan bagimu ibadat pada malam harinya. Maka barang siapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dan beribadat di malam harinya kerana iman dan mengharap redha Allah, keluarlah ia dari dosa-dosanya sebagaimana seorang bayi yang baru keluar dari perut ibunya”

                                                                                 (Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi)
 
Jelaslah menurut hadis ini, bahawasanya amalan-amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan berfungsi sebagai penghapus dosa dan pembersih jiwa yang melahirkan insan kamil.


Pengajaran daripada beberapa hadis mengenai kelebihan beribadat dalam bulan Ramadhan dapat dirumuskan seperti berikut :-


1) Mereka yang beribadat, berjaga di malam al-Qadr akan dibalas ganjaran pahala lebih daripada seribu bulan daripada bulan-bulan biasa. Antara ibadatnya ialah solat sunat, beristighfar, bertasbih, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.


2) Melaksanakan amalan sunat diberikan pahala fardhu, manakala amalan fardhu pula dibalas 70 kali ganda.

3) Memberi makan kepada orang yang berpuasa, pahalanya seperti memerdekakan seorang hamba dan diampunkan dosanya. Dikurniakan seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkat untuknya seribu darjat.

4) Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah dan nafasnya merupakan satu tasbih, doanya mustajab, dosanya diampunkan dan amal ibadahnya dilipat gandakan oleh Allah.

5) Puasa merupakan perisai yang sangat berkesan untuk menghalang orang-orang yang berpuasa daripada melakukan maksiat, samada dosa kecil atau dosa besar.

Islam mensyari’atkan kita mendirikan solat sunat tarawih, memperbanyak tadarus al-Quran, memperbanyakkan derma dan sedekah, menyayangi golongan fuqara’ dan masakin, maka sebagai seorang muslim kita hendaklah melaksanakannya dengan niat ikhlas kerana Iman, dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Kita juga hendaklah mengimarahkan bulan Ramadhan dengan mengajak anak-anak, keluarga mahupun kaum kerabat untuk bersama-sama menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah baik di masjid-masjid, surau-surau, mahupun di tempat-tempat lain yang telah disediakan. Memperbanyakkan Zikrullah dan mendengar pengajian-pengajian, yang kesemuanya itu tidak lain dan tidak bukan adalah merupakan santapan rohani yang dapat membersihkan jiwa dari segala kekotoran dan penyakit dalam diri kita. 

Antara hikmah puasa adalah:-
 
1) Dari segi perubatan dan kesihatan berpuasa merupakan sesuatu yang sangat berfaedah. Perut manusia boleh diibaratkan sebagai enjin. Jika enjin itu selalu berjalan sudah tentu ia cepat rosak, begitu jugalah perut. 

Hadis daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-


 “Berperanglah kamu nescaya kamu akan mendapat harta rampasan, berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat danbermusafirlah kamu nescaya kamu akan senang”.
(Riwayat at-Thabrani)

2) Dari segi kemasyarakatan pula, puasa dapat memupuk perasaan rahmat dan belas kasihan terhadap golongan fakir, miskin atau orang-orang yang tidak mampu, supaya setiap orang yang merasa lapar dan dahaga dalam jangka waktu yang tertentu akan timbul rasa belas kasihan terhadap masyarakat yang miskin. Oleh itu, penuhilah aktiviti-aktiviti pada bulan Ramadhan dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Hindarilah dari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Ingatlah, sehari demi sehari umur kita semakin ke penghujung. Justeru, perbanyakkanlah amal ibadah kita demi untuk mencapai keredhaan Allah. insyaAllah kita akan tergolong di kalangan hambahamba-Nya yang solihin.

Secara keseluruhannya dapatlah kita simpulkan bahawa amalan Ramadhan itu menuju kepada empat tujuan :-

1) Membersih dan menyuci mental, iaitu melalui puasa, i’tikaf, kelas-kelas pengajian, bermunajat dan bertaqarrub kepada Allah.

2) Meningkatkan amalan ibadat membantu masyarakat dengan sumbangan-sumbangan derma, sedekah serta membantu golongan fakir miskin dan mengasihi anak-anak yatim.

3) Penyemarak syi’ar Islam, dengan mengadakan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid-masjid, surau-surau dan sebagainya.

4) Mendalami syariat-syariat Allah, kerana dalam bulan Ramdhan kita dianjurkan membaca al-Quran (tadarrus); amalan tadarrus sudah tentu tidak hanya sekadar membaca, malah lebih dari itu lagi dengan mempelajari isi kandungan al-Quran itu sendiri.

Marilah kita laksanakan ibadat Ramadhan dengan ikhlas, mulainya secara peribadi, kemudian kita ajak anak-anak dan ahli keluarga, kerabat dan jiran tetangga untuk bersama-sama mengecapi nikmat kebahagiaan berada di bulan Ramadhan.

Adalah diharapkan supaya jangan ada umat Islam yang mencemarkan kesucian bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Menjadi buruan pihak berkuasa ataupun ditangkap kerana makan pada siang hari di hadapan khalayak ramai. Begitu juga pengusaha-pengusaha restoran, gerai-gerai makan diharap dapat mematuhi peraturanperaturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor, supaya memelihara dan mengutamakan maruah umat Islam daripada hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata.

 “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa antara kamu yang sakit, atau sedang bermusafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa beberapa (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), jika kamu mengetahui”. (Al-Baqarah : 184)

No comments:

Post a Comment