Saturday, 27 July 2013
Air Batu Di Bulan Ramadan
Melalui zaman 50 / 60an peti ais / sejuk belum popular dan untuk memilikinya pun masih belum termampu oleh kebanyakkan warga Kampung Padang Jawa, maka hendak mendapatkan ais batu pun amat susah. Lebih lebih lagi bekalan elektrik belum ada lagi ke kampung ini.
Bekalannya air batu amat terhad diusahakan oleh sebuah kedai sahaja iaitu Kedai Pak Abu sedangkan permintaannya di bulan Ramadhan amat tinggi. Menariknya, Pak Abu sebagai penjual menyimpan bongkah air batu dengan menggunakan serbuk papan atau dibaluti dengan guni padi dalam sebuah peti kayu. Bongkah yang besar itu kemudian dipotong dengan menggunakan gergaji. Kalau lambat beli, alamatnya terpaksalah berbuka dengan air suam atau air panas sahaja. Bagi aku yang masih kanak-kanak pada ketka itu, sering menjalankan tugas membeli ais batu ini. Aku dengan seberapa daya upaya sekitar jam 4 petang sudah bergegas naik basikal menuju ke Kedai Pak Abu untuk membeli air batu. Ini kerana aku tidak sangup berbuka dengan air panas. Maklumlah kanak kanak, akan memastikan misi berkenaan berjaya. Walaupun serba kekurangan, bagiku ianya tetap merupakan salah satu kenangan yang terindah. Aku amat menghargai bila dapat membeli seketul ais dan direndam dengan air kelapa atau limau nipis atau sirap sarbat atau kembang semangkuk dan sebagainya.
Seketul air batu berukuran lebih kurang 6" x 4" x 3" cuma 10 sen sahaja. Kalau double sizenya 20 sen lah harganya. Namun dapat beli yang 10 sen jer, tu pun dah mencukupi. Air batu ni di selaputi habuk kayu gergaji dan dibungkus lagi dengan kertas surat khabar. Kalau tak buat begitu memang tak sampai berbukalah jawabnya. Ia akan cepat cair dan harapan untuk berbuka dengan nya akan tinggal harapan saja.
Memang sedap berbuka dengan air batu...sejukkk jer tekak!
Friday, 26 July 2013
Malam Tujuh Likor - Antara Budaya, Adat Dan Agama
Sumber : Flickr.Com Sumber : Sifumirza.blogspot.com
Sumber : tenganukita.blogspot.com
Malam Tujuh Likur
Gambar gambar tersebut diatas, mengimbas kembali keseronokkan pada malam tujuh likor dizaman kanak kanak dulu.
Latar Belakang Kampung Padang Jawa Klang.
Ditahun 50an
dan 60an Kampung Padang Jawa Klang tidaklah berwajah seperti sekarang. Sebuah
kampong tua berumur lebih pada 130 tahun kira kira 5 batu daripada Bandar
Klang. Kemudahan bekalan elektrik dan air bersih hanya dinikmati sebahagian
penduduk kampong sekitar tahun 1967/1970. Penduduk kampung yang tinggal selepas
landasan rel keretapi mendapat bekalan tersebut berperingkat peringkat dari
tahun 1974/1975. Taburan penduduk dalam kampung ini didiami tidak lebih dari
100 buah rumah dan kedudukkan antara satu rumah kesatu rumah tidaklah dekat,
bergantung kepada keluasan tuan tuan punya tanah.
Bayangkanlah kehidupan seharian warga Kampung Padang Jawa yang tak begitu ramai
ketika itu. Tidaklah seperti sekarang. Pada malam hari setiap rumah diterangi dengan lampu pelita
atau lampu “carbide”. Yang berkemanpuan mengunakan lampu “gaslin”. Lampu lampu
jenis inilah yang menerangi kegiatan dan aktiviti dimasjid sebaya
denganku dengan perasaan girang dan gembira. Tiba 10 malam terakhir Ramadhan,
maka rumah masing akan diterangi oleh pelita yang diperbuat dari tin susu, botol,
buluh dan sebagainya dinyalakan dari sumbu tali guni atau kain serta mengunakan
minyak gas atau kerosene. Maka berubah wajah kampung dengan kerlipan lampu lampu
tersebut. Bagi peringkat
pemuda dan dewasa kegirangan mereka juga kelihatan. Dengan kudrat dan kekuatan
lebih daripada kami yang kanak kanak mereka membuat pintu gerbang dihias dengan pelbagai
pelita, Biasanya pintu gerbang ini akan
dibuat dijalan menuju kemasjid kampung.Main Beduk Lepas Sembahyang Terawih.
Sejurus Pak Imam selesai solat witir maka bergemalah paluan beduk selama beberapa minit diatas menara masjid yang dipukul oleh kumpulan remaja belasan tahun. Ini menandakan solat terawih dah selesai. Beduk juga merupakan satu alat dengan pukulan yang tertentu memberitahu bahawa telah masuk waktu solat.
Monday, 15 July 2013
Sunday, 7 July 2013
Marhaban Ya Ramadhan
Khubah Jumaat Masjid kat tempat aku
5hb Julai 2013.
Bertaqwalah
kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala
larangan-Nya, mudah-mudahan kita beroleh kejayaan di dunia dan mendapat
kebaikan dan keredhaan Allah SWT di akhirat. Pada hari yang mulia ini marilah
sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk :- :“MARHABAN YA RAMADHAN”.
Alhamdulillah
bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya sekali lagi
kita berpeluang untuk menyambut kehadiran bulan Ramadhan, bulan yang agung,
mulia, istimewa dan barakah. Banyak kelebihan atau fadhilat di dalamnya.
Keistimewaan
Ramadhan adalah bulan yang bukan sekadar dipilih oleh Allah untuk kita berpuasa
dan disunatkan solat tarawih. Ramadhan juga dipilih Allah untuk diturunkan
al-Quran yang menjadi kitab pedoman hidup kita.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah
ayat 185:-
Oleh
itu, marilah kita menyambut kehadiran Ramadhan ini dengan beberapa amalan yang
di redhai Allah agar suasana penghayatan Ramadhan ini memberi kesan di hati
kita.
Para
sahabat Nabi Ridwanullahi ‘alaihim sangat gembira di kala menjelangnya Ramadhan
dengan rasa syukur dan kesedihan yang mendalam apabila bulan Ramadhan telah
berlalu. Digambarkan kesedihan para sahabat di kala bulan Ramadhan berada
dipenghujungnya sama seperti ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya malah lebih
dari itu lagi. Demikianlah sebagaimana hamba Allah yang hatinya penuh dengan
keimanan dan ketaatan apabila berhadapan dengan panggilan Ilahi.
Kita
juga sedia maklum bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan ujian bagi segenap umat
Islam. Malah ianya sebagai pengukur keimanan seseorang hamba Allah itu sebab
ketentuan-ketentuan yang wajib dipatuhi pada saat yang amat berat, dalam
keadaan lapar dan dahaga, larangan bercampur suami-isteri di siang hari,
menjauhi segala perbuatan yang membatalkan ibadat puasa, meninggalkan ketagihan
rokok yang kesemuanya benar-benar terasa berat, apalagi bagi mereka yang lemah
imannya. Akan
tetapi Allah Maha Bijaksana lagi Maha Adil dengan memberikan keistimewaan
kepada hamba-Nya dalam bulan Ramadhan, sebagaimana firman-Nya dalam hadis qudsi
:-
“Semua amal manusia baginya, melainkan
puasa; maka sesungguhnya puasa itu bagi-Ku dan Aku akan memberi
pembalasannya”. (Riwayat al-Bukhari)
Beberapa
perkara penting dalam mempersiapkan diri menyambut bulan Ramadhan, di antaranya :-
1) Muhasabah dan merenungi diri, kesalahan apakah yang pernah dilakukan dengan sengaja sehingga mendatangkan dosa, kemudian diiringai dengan memperbanyak istighfar memohon keampunan
Allah, atas segala kesalahan dan dosa yang diperbuat, agar sebelum memasuki
bulan Ramadhan kita tidak lagi menanggung dosa-dosa yang lalu.
2)
Mengingati ibu bapa dengan menziarahi dan memohon maaf kepada mereka.
Gembirakan hati keduanya, jangan dilukai, kerana melukakan hati ibu adalah
salah satu perbuatan derhaka, begitu juga kepada bapa. Oleh itu sebelum
memasuki bulan Ramadhan sucikanlah diri dari dosa yang telah dilakukan terhadap
kedua ibu bapa. Jika keduanya sudah meninggal, ziarahi kubur dan bacakan
al-Quran dan doa serta menginfakkan harta dengan niat untuk mereka.
3)
Kukuhkan hubungan silaturrahmi terhadap sesama manusia, kerabat dan keluarga
serta kepada sahabat handai, untuk mendekatkan hati sesama muslim, saling
memaafkan, menghapuskan sebarang sengketa yang ada disepanjang pergaulan.
Dengan demikian maka bersihlah diri kita dari sebarang kesalahan dan dosa.
4)
Membersihkan diri secara lahiriah atau jasmani adalah sangat penting. Misalnya
membersihkan rumah, tempat tinggal dan lain-lainnya, agar benar-benar wujud
suasana Ramadhan yang diberkati. Kesan lahiriah adalah suatu jelmaan atau
manifestasi dari rohaniah yang memberi kesan di hati, sebagai petanda yang
nyata bahawa bulan Ramadhan telah kita muliakan dengan bentuk lahir dan batin.
Di malam
bulan Ramadhan, hendaklah kita melaksanakan ibadat Solat Sunat Tarawih. Antara
tujuannya ialah supaya tempoh sebulan di bulan Ramadhan, dari siang hingga
malamnya dipenuhi dengan amalan ibadat, kerana bulan Ramadhan, bulan yang sangat
berkat. Berkat dengan puasa, berkat dengan amalan solat, berkat dengan bacaan
al-Quran dan berkat dengan anugerah Lailatul Qadar. Bahkan keberkatan seperti
ini tidak mungkin diperolehi dalam bulan-bulan yang lain. Keistimewaan dan
keberkatan Ramadhan itu merupakan kurnia Allah bagi semua hamba-Nya, samada
lelaki ataupun perempuan. Akan tetapi kurnia itupun tidak akan datang tanpa
amalan yang ikhlas dan dengan usaha yang bersungguh-sungguh memohonnya kehadrat
Allah SWT.
Fadhilat
amalan dalam bulan Ramadhan akan diberikan secara langsung oleh Allah kepada
hamba-hamba-Nya yang beramal kebajikan dengan ikhlas, sehingga menjalani ibadah
sebulan penuh menjadi bersihlah jiwa mereka dan kembalilah mereka kepada fitrah
yang asal, sebagaimana bayi yang baru dilahirkan. Sabda Nabi s.a.w:
“Bulan
Ramadhan adalah bulan yang Allah telah mewajibkan atasmu berpuasa; dan aku
mensyari’atkan bagimu ibadat pada malam harinya. Maka barang siapa yang
berpuasa dalam bulan Ramadhan dan beribadat di malam harinya kerana iman dan
mengharap redha Allah, keluarlah ia dari dosa-dosanya sebagaimana seorang bayi
yang baru keluar dari perut ibunya”
(Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi)
Jelaslah menurut hadis ini,
bahawasanya amalan-amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan berfungsi sebagai
penghapus dosa dan pembersih jiwa yang melahirkan insan kamil.
Pengajaran daripada beberapa hadis
mengenai kelebihan beribadat dalam bulan Ramadhan dapat dirumuskan seperti
berikut :-
1) Mereka yang beribadat, berjaga di
malam al-Qadr akan dibalas ganjaran pahala lebih daripada seribu bulan daripada
bulan-bulan biasa. Antara ibadatnya ialah solat sunat, beristighfar, bertasbih,
berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.
2) Melaksanakan amalan sunat
diberikan pahala fardhu, manakala amalan fardhu pula dibalas 70 kali ganda.
3) Memberi makan kepada orang yang
berpuasa, pahalanya seperti memerdekakan seorang hamba dan diampunkan dosanya.
Dikurniakan seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkat untuknya
seribu darjat.
4) Tidur orang yang berpuasa itu
adalah ibadah dan nafasnya merupakan satu tasbih, doanya mustajab, dosanya
diampunkan dan amal ibadahnya dilipat gandakan oleh Allah.
5) Puasa merupakan perisai yang
sangat berkesan untuk menghalang orang-orang yang berpuasa daripada melakukan
maksiat, samada dosa kecil atau dosa besar.
Islam
mensyari’atkan kita mendirikan solat sunat tarawih, memperbanyak tadarus
al-Quran, memperbanyakkan derma dan sedekah, menyayangi golongan fuqara’ dan
masakin, maka sebagai seorang muslim kita hendaklah melaksanakannya dengan niat
ikhlas kerana Iman, dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Kita juga
hendaklah mengimarahkan bulan Ramadhan dengan mengajak anak-anak, keluarga
mahupun kaum kerabat untuk bersama-sama menunaikan solat sunat Tarawih secara
berjemaah baik di masjid-masjid, surau-surau, mahupun di tempat-tempat lain
yang telah disediakan. Memperbanyakkan Zikrullah dan mendengar
pengajian-pengajian, yang kesemuanya itu tidak lain dan tidak bukan adalah
merupakan santapan rohani yang dapat membersihkan jiwa dari segala kekotoran
dan penyakit dalam diri kita.
Antara hikmah puasa adalah:-
1)
Dari segi perubatan dan kesihatan berpuasa merupakan sesuatu yang sangat
berfaedah. Perut manusia boleh diibaratkan sebagai enjin. Jika enjin itu selalu
berjalan sudah tentu ia cepat rosak, begitu jugalah perut.
Hadis daripada Abu
Hurairah R.A. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
“Berperanglah kamu nescaya kamu akan mendapat
harta rampasan, berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat danbermusafirlah kamu
nescaya kamu akan senang”.
(Riwayat at-Thabrani)
2)
Dari segi kemasyarakatan pula, puasa dapat memupuk perasaan rahmat dan belas
kasihan terhadap golongan fakir, miskin atau orang-orang yang tidak mampu,
supaya setiap orang yang merasa lapar dan dahaga dalam jangka waktu yang
tertentu akan timbul rasa belas kasihan terhadap masyarakat yang miskin. Oleh
itu, penuhilah aktiviti-aktiviti pada bulan Ramadhan dengan perkara-perkara
yang bermanfaat.
Hindarilah
dari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Ingatlah, sehari demi sehari
umur kita semakin ke penghujung. Justeru, perbanyakkanlah amal ibadah kita demi
untuk mencapai keredhaan Allah. insyaAllah kita akan tergolong di kalangan
hambahamba-Nya yang solihin.
Secara
keseluruhannya dapatlah kita simpulkan bahawa amalan Ramadhan itu menuju kepada
empat tujuan :-
1)
Membersih dan menyuci mental, iaitu melalui puasa, i’tikaf, kelas-kelas
pengajian, bermunajat dan bertaqarrub kepada Allah.
2)
Meningkatkan amalan ibadat membantu masyarakat dengan sumbangan-sumbangan
derma, sedekah serta membantu golongan fakir miskin dan mengasihi anak-anak
yatim.
3)
Penyemarak syi’ar Islam, dengan mengadakan solat sunat tarawih secara berjemaah
di masjid-masjid, surau-surau dan sebagainya.
4)
Mendalami syariat-syariat Allah, kerana dalam bulan Ramdhan kita dianjurkan
membaca al-Quran (tadarrus); amalan tadarrus sudah tentu tidak hanya sekadar
membaca, malah lebih dari itu lagi dengan mempelajari isi kandungan al-Quran itu
sendiri.
Marilah
kita laksanakan ibadat Ramadhan dengan ikhlas, mulainya secara peribadi,
kemudian kita ajak anak-anak dan ahli keluarga, kerabat dan jiran tetangga
untuk bersama-sama mengecapi nikmat kebahagiaan berada di bulan Ramadhan.
Adalah
diharapkan supaya jangan ada umat Islam yang mencemarkan kesucian bulan
Ramadhan al-Mubarak ini. Menjadi buruan pihak berkuasa ataupun ditangkap kerana
makan pada siang hari di hadapan khalayak ramai. Begitu juga
pengusaha-pengusaha restoran, gerai-gerai makan diharap dapat mematuhi
peraturanperaturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor,
supaya memelihara dan mengutamakan maruah umat Islam daripada hanya memikirkan
soal keuntungan semata-mata.
“(Puasa
yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa antara
kamu yang sakit, atau sedang bermusafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian
wajiblah dia berpuasa beberapa (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang
lain, dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan
sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa
dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu,
maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu
lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), jika kamu mengetahui”.
(Al-Baqarah : 184)
Subscribe to:
Posts (Atom)