Tuesday, 8 May 2012

Sejarah Kampung Padang Jawa Klang Part 10 - Sejarah Asal Usul Padang Jawa, Klang


Beberapa laman blog telah menampilkan pelbagai gaya cerita mengenai sejarah kelahiran, penerokaan dan kewujudan  Kampung Padang Jawa Klang. Malangnya penulis penulis dilaman tersebut tidak memapar sumber cerita itu didapati atau diperolehi, melainkan cerita generasi ke generasi yang disampaikan oleh Allhyarham Tn Hj Ahmad Imam Masjid Padang Jawa yang pertama dan anaknya bekas Imam yang kedua  Tn Hj Mahmud. Tanpa disedari cerita cerita sebenarnya yang disampaikan oleh kedua dua Imam tersebut diolah dengan tokok tambah atau dihapuskan cerita itu sama sekali bagi memperlihatkan kehebatan plot penceritaan dan imiginasi penulis.(Lihat dihujung rencana blog ini)

Ramai orang yang tidak mengetahui termasuk penulis penulis laman blog bahawa Allahyarham Tn Hj Ahmad dan anaknya Allahyarham Tn Hj Mahmud serta keturunannya berasal daripada Langat, datang ke Kampung Padang Jawa selepas peneroka awal Tok Pakar anak beranak, Mohd Tahir ( Tok Tahir) dan Hj Sulaiman.Mereka ini menetap diKampung Berangan. Mana mungkin Tn Hj Mahmud bercerita kepada Sdra Saian Asmari,  Ketua Kampung bahawa orang jawa yang mula mula meneroka Kampung Padang Jawa. Saya percaya Sdra. Saian Asmari pernah berjumpa Tn Hj Mahmud semasa hidupnya ketika itu Sdra Saian Asmari memegang jawatan S/usaha JKKK pada rejim partai politik yang terdahulu sebelum menukar aliran politiknya sekarang. Tn Hj Mahmud berceritakan Wak Kairan orang Jawa Tengah meneroka Padang Lalang sahaja.(fullstop) tetapi gaya Sdra.Saian Asmari menulis dengan membina plot ceritanya pada blognya menyandarkan sumber yang diperolehinya adalah dari Tn Hj Mahmud untuk menonjolkan kehebatan ketokohan orang jawa.Sdra Saian Asmari juga memberikan tafsiran kamus jawa mengenai perkataan Padang sebagai memperhebatkan ceritanya.(Lihat pada laman JKKK padangjawaklang). Siapa nak tanya kerana Tn Hj Mahmud dah meninggal dunia. Tapi masih ada warga Padang Jawa yang berumur 60 tahun keatas juga pernah mendengar apa yang diceritakan oleh Tn Hj Mahmud.( En Safie Alwi generasi ketiga Tok Tahir seangkatan Tn Hj Mahmud masih hidup lagi setakat hari ini walaupun uzur tinggal diKampung Berangan)

Ramai orang juga tidak mengetahui peneraju kepimpinan Kampung Padang Jawa dahulu adalah dipegang oleh orang Melayu keturunan Tok Pakar, Tok Tahir serta Hj Sulaiman berasal dari Langat. Umpamanya jawatan Ketua Kampung dipegang oleh Allahyarham Tn Hj Salleh Ramdan, Allahyarham Tn Hj Zainal Hj Hassan, Allahyarham Rahmat Dahlan, En Abdul Manaf Hj Zainal dan Allahyarham Tn Hj Jamaluddin. Begitu juga Imam Masjid dipegang oleh Allahyarham Tn Hj Ahmad, Allahyarham Tn Hj Mahmud Hj Ahmad, Allahyarham Tn Hj Ustaz Manan Yamin dan Allahyarham Tn Hj Ismail Hj Hassan. Era 90an jawatan jawatan ini mula dipegang oleh keturunan jawa. Begitu juga Ketua Kampung Padang Jawa Petaling Tn Hj Hamed Saharuddin berketurunan daripada Langat.

Ramai orang tidak tahu bahawa orang Melayu dahulu telah menggunakan Sungai Klang (sejak 1804) sebagai satu satu nya jalan pengangkutan ke Kuala Lumpur. ( baca Straits Times 23.3.1884) Masa itu mana ada jalan darat lebih lebih lagi jalan highway. Sebab itu perkampungan orang melayu berada/dibina berhampiran Sg Klang.Perkampungan Orang Rawa telah wujud di Kampung Jawa dan Sg Bertik sejak 1850. Jika Sdra Saian Asmari menyatakan Wak Kairan mula-mula meneroka kampung ini dengan menebas, membersihkan segala hutan-hutan dan semak samun diPadang Lalang lebih 130 tahun dahulu, berapa jauhkah Sungai Klang dengan Padang Lalang? Tak masuk akalkan.Apa mungkin Wak Kairan apabila mula mula datang untuk meneroka Padang Jawa naik kereta api Selangor State Goverment Railway atau Federated Malay State Railway atau Kereta Api Tanah Melayu atau KTMB atau jalan darat melalui Lebuh Raya Persekutuan?

Ramai orang tidak tahu perkhidmatan kereta api antara Bukit Kuda ke Kuala Lumpur bermula pada 15hb September 1886.( Baca Campur Tangan British diTanah Melayu)Lihat dalam blog ini Setesen Kereta Api Bukit Kuda. Posted 08 Mac 2012). Setesen kereta api Padang Jawa dibina bukan kerana kepentingan orang Kampung Padang Jawa (ketika itu tak lebih pun 100 buah rumah)atau kehebatan Wak Kairan boleh menahan kereta api (seperti dinyatakan dalam blog) tetapi adalah kepentingan British nak angkut apa saja hasil galian atau hasil hutan diMalaya ke England.Begitu juga jika dikaji jalan raya antara Klang ke KL dibina dahulu melalui Berkely Estate, Bukit Rajah Estate, Midland Estate, Sg Rengam Estate,Bukit Jelutung Estate, Damansara Estate dan banyak lagi estate.Apakah maknanya? Jawapan nya British menjaga kepentingan pada industri getah.  

Ramai orang tidak tahu dalam sengketa anak anak raja Selangor dalam Perang Klang Pertama dan Perang Kelang Kedua tiada pun disebut orang jawa yang hebat pendekarnya membantu.Yang ditulis dalam sejarah adalah Orang Rawa, Orang Bangkahulu,Orang Batu Bara, Orang Mendahiling, Orang Kedah, Orang Pahang dan Orang Cina diketua oleh Yap Ah Loy.

Ramai orang yang tidak tahu kedatangan/kebanjiran/penghijrahan Orang Jawa ke Tanah Melayu dalam sejarah adalah pada awal 1900.(Baca Orang Jawa diSelangor oleh Khazin Mohd Tamrin, Immirant dan lain lain lagi mengenai Orang Jawa diSelangor )Sdra Saian Asmari menyatakan Kampung Padang Jawa wujud lebih 130 tahun.Pelik juga kiraan matematik Sdra Saian Asmari tentang kedatangan Wak Kairan dan orang orang Jawa.Angka 2012 tolak 1900 =   ?.  Andaikata Wak Kairan datang pada sekitar 1870an tentu Wak Kairan kenal dengan Tengku Kudin,Raja Mahdi,Yap Ah Loy, Raja Abdullah,Raja Ismail, Saiyid Mashhor, Van Hagen, Cavaliero dan lain lain lagi kerana kenyataan Sdra Saian Asmari, Wak Kairan dikatakan hebat pendekarnya.

Jika Sdra Saian Asmari menyatakan wujudnya Padang Jawa sama tua dengan bandar Klang tentulah banyak orang jawa diBandar Klang tapi kenyataan dibawah ini tak sebut pun Orang Jawa :-    
"Menurut Muhammad Ibrahim Munshi pada tahun 1872; Rumah di Kelang lebih kurang 400 buah dengan penduduknya 3,000 orang iaitu orang Melayu, Arab, Inggeris, Cina, India Islam, Hindu, Benggali dll. Di bandar Kelang ada deretan rumah2 kedai Cina dan Melayu, simpang, surau, pejabat, penjara, balai polis, rumah sakit semuanya rumah atap dan selebihnya hutan. Ada jalan2 iaitu China Street (di hujungnya ada stesen dan jambatan) King street, Beach Street, Market Street, Wharf Street, Chulia Street, Hopital Street dan Mosque Street dengan lebihkurang 90 buah kereta lembu. Keperluan makanan adalah dari Melaka."

Ramai orang tidak tahu bahawa dalam tahun 2000 lagi telah ada laman website eklangkomuniti yang mempamer Sejarah Kampung Padang Jawa. Apakah Sdra Saian Asmari tidak tahu atau pura pura tak tahu? Website/Blog JKKK Padang Jawa Klang diketuai Sdr.Saian Asmari sebagai Ketua Kampung wujud Disember 2009.Hello Bro belajar dan hormatlah kerja orang lain.

Dibawah ini saya pamerkan dokumentasi 59 tahun Keluarga Hj Sulaiman dan Singah mengenai peneroka awal Kampung Padang Jawa yang ditulis oleh Allahyarham Tn Hj Sujak@Zainal b Hj Hassan bekas Ketua Kampung pada 1953. Pada masa itu Sdra Saian Asmari berumur lebih kurang 2 tahun. Tulisan ini tidak pernah dipamerkan kepada umum.

Insyaallah jika ada umur panjang akan saya uploadkan tulisan Allahyarham Tn Hj Sujak@Zainal b Hj Hassan mengenai Kedatangan Bapaku -Orang Jawa,Susurgalur keluarga Tok Pakar, Tok Tahir dan Hj Sulaiman serta penempatan diKampung Berangan oleh ketiga tiga orang yang mula mula membuka/meneroka Padang Jawa.        



Terjemahan Jawi ke Rumi di muka surat 65 & 66

Bab 16.Kedatangan Datuk Ku

Menurut keterangan dari ibuku bahawa datuk ku berasal dari Langat berumah tinggi dengan mewahnya disana. 

Pada suatu hari datanglah seorang orang raja ( hamba raja) atau (hamba perut) iaitu kuli yang diberi makan sahaja tiada bergaji, mendapatkan adik sepupu datuk ku bernama Pakar katanya.

“Saya ini datang kemari diperintahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Abd Samad iaitu Sultan yang memerintah dalam negeri Selangor ini seluas luasnya. Tujuan nya adalah Encik Pakar masa ini ada mempunyai seorang anak perempuan bernama Repah. Oleh itu Yang Maha Mulia mengambil keputusan bahawa Repah ini akan dijadikan oleh baginda sebagai gundik diistana kelak, dengan inilah saya memberi keterangan  yang cukup jelas supaya Encik Pakar menyerahkan anak Encik Pakar ini jika tidak Encik Pakar sendiri tentu tau bagaimana hukum orang yang menderhaka kepada Sultan, saya pikir eloklah Encik Pakar dengan segera menghantarkannya sementara baginda belum murka.”

Terkejut Encik Pakar mendengar perkataan orang raja itu. Ia termenung sejurus mengambil pikiran.

”Apa lagi yang Encik Pakar menungkan, bukankah sudah bertuah anak Encik Pakar menjadi isteri baginda” kata orang raja itu lagi. 

“Betul” kata Encik Pakar memulakan cakapnya. “Saya memang bersetuju dapat bermenantukan baginda, tetapi saya mintak jika tuan mengizinkan berilah saya tempoh pada hari esok, supaya dapat saya membersihkan badan anak saya itu, kerana badannya berlumak lumak kotor maklum maklumlah budak budak, jika tidak dibersihkan dulu barangkali kelak murkalah baginda” kata Encik Pakar mendalihkan untuk mencari ikhtiar supaya terlepas dari bahaya sultan yang ganas itu. Permintaan ini dimakbulkan oleh orang raja itu. 

Apabila orang raja itu telah balik maka Encik Pakar pun pergilah kerumah saudara saudaranya berpakat atas kedatangan orang raja tadi dan tujuannya dan bagaimana gaya jalan mengelakkan kerana mereka tak suka anak anak mereka diperisteri oleh raja. 



Terjemahan Jawi ke Rumi dimuka surat 67 & 68.

Kerana yang telah sudah apabila sesaorang raja atau sultan beristerikan anak anak orang kebanyakan dibuatnya seperti hamba tebusan. Tiada boleh keluar langsung daripada istana, dan tiada boleh berjumpa dengan ibu bapanya walau mati sekalipun, demikian jua kedua ibu bapa tiada dibenarkan berjumpa anaknya. 

Kadang kadang bila raja itu cemburu kepada isterinya anak anak orang kampong itu maka dengan tiada pereksa lagi terus dihukum bunuh, kasihan matilah hamba Allah yang tiada berdosa itu. Perkara yang berlaku demikian itu selalu berlaku oleh fitnah isteri isteri raja yang sangat tidak menimbang rasa keadilan, kerana kebanyakkan raja raja itu isteri dan gundiknya tersangat banyak, boleh jadi seorang raja kurangnya 40-50 orang gundiknya, maka dalam banyak itu tentulah ada yang sangat dikasihi oleh raja raja itu, maka biasanya cakap cakap gundik yang disayangi itulah yang selalu membuat fitnah, dan didengar oleh raja.

Dengan memandang kepada tauladan yang telah berlaku itulah Encik Pakar dan saudara saudaranya tidak izin yang anaknya Repah yang sedang anak dara sunti kira kira berumur 12 tahun dan comel pula diperisteri atau dipergundik oleh raja. Oleh itu mereka mesti mencari ikhtiar dengan segera, jika tidak diturut kehendak Sultan Abdul Samad itu tentu Encik Pakar anak beranak akan menerima maut.

Pendek kata Encik Pakar bermesyuarat dengan saudara saudaranya itu dapatlah satu keputusan yang lebih selamat yaitu lari daripada tempat itu menghilangkan diri dengan anak beranak ketempat yang tidak diketahui oleh orang orang dengan mudah.

Pada malam itu berkemas kemaslah Encik Pakar dengan sekelian anak beranak dan isterinya serta membawa bekalan padi serta sedikit perkakas perkebunan seperti kapak, parang, beliung,cangkul dan lain lainnya lagi. Pada saat yang baik mereka pun berlepas anak beranak dengan sebuah sampan yang kecil membawa nasib mereka kemana satu tempat yang belum dapat mereka hendak tuju.

Sebelum mereka belayar itu mereka telah memberi selamat tinggal dan bertangisan kerana mereka terpaksa meninggalkan saudaranya yang dikasihi serta dengan hidup
                                               

Terjemahan Jawi ke Rumi dimuka surat 69 & 70.

demi diantara satu sama lain itu tetapi apa boleh buat pencarian telah tiada sambil Encik Pakar menangis tersedu sedu mengeluarkan suaranya kepada saudaranya yang akan ditinggalkan itu. 

“ Aku pergi membawa nasibku barang kemana dilorongkan tuhan belum aku tahu aku terpaksa lari dari bahaya maut ini. Aku tidak akan balik kemari lagi dalam perintah sultan yang zalim ini. Jika aku tidak mati aku akan memberitahu kepada saudara saudara ku dimana tempat berada kelak. Selamat tinggal aku ucapkan dipelihara tuhan atas mahluknya yang benar dan beriman”

Mereka sedang belayar keluar menghala kelautan besar dengan sampan yang kecil itu, diisi dengan segala sedikit barang makanan dan perkakas, sangat sarat serta dimuat pula oleh :-
                   1.         Pakar
                   2.         Rabiah  - isteri En Pakar
                   3.         Lamah   - (Tok Alang Lamah)
                   4.         Kassim
                   5.         Repah
                   6.         Abdul Rahman

Mereka belayar itu menyusur tepi pantai selat Melaka dengan hati yang khuatir kerana lanun sentiasa ada dilaut laut itu. Barangsiapa yang terjumpa olehnya habislah disamunnya. Jika melawan dibunuhnya,dengan takdir tuhan En.Pakar anak beranak terselamat dari lanun lanun itu.

Maka sampaikah mereka diKuala Klang, mereka pun belayar masuk ke Sungai Klang tujuannya hendak pergi mencari tempat yang tiada berorang supaya senang bersembunyi. Maka sampailah pula disebelah Tanjong Gemok menghala ke hulu disitulah mereka naik. Sekarang tempat ini ialah menjadi pengkalan sampan yang dibelakang rumah Tok Ngah Alwi.

Maka naik disitu pada waktu siang setelah belayar beberapa hari lamanya sambil melindungkan dirinya kalau kalau diketahui atau dicari oleh orang orang raja (Sultan Abdul Samad) maka mereka pun mendirikan pondok daripada kayu kayu hutan disitu dan atapnya daripada daun kapau, pada masa mereka mula mula naik tadi mereka nampak beberapa orang sakai didalam hutan itu. Apabila mereka telah mendirikan pondok itu iapun beransur lari kedarat lagi kerana takut daripada mereka yang datang itu.



Terjemahan Jawi ke Rumi pada muka surat 71 & 72.

Maka tersebutlah pula kisah Sultan Abdul Samad duduk menunggu akan kedatangan Cik Repah sebagai jadi gundiknya, tibalah masanya pada keesokkan harinya tiada juga tiba hingga telah waktu Asar, tempat itu bukan jauh dari istana baginda, kerana mereka pun memang berkampung di kampong dalam kawasan istana baginda.

Maka murkalah baginda, disuruhnya seorang pesuruhnya suruh lihat dan bawa ia kesana.Maka pergilah pesuruh itu kerumah Encik Pakar kerana melihat anaknya Cik Repah itu.

Apabila tiba dilihatnya rumah Encik Pakar itu kosong sahaja terdedah pintunya dan barang pun tiada, maka bertanyalah ia kepada jiran Encik Pakar itu “Kemana Encik Pakar telah pergi”. Jawab mereka “tidak tahu kerana malam tadi ada lagi ia disitu”.

Maka pesuruh itupun kembali ke istana memberi khabar. Apabila didengar oleh baginda maka sangat sangat baginda bertambah murka, serta disuruhnya cari dan bawa waris warisnya ke istana bagi disiasatnya.

Kesudahannya waris waris Encik Pakar itu lari juga, lepas beberapa bulan mengikut Encik Pakar, kerana selalu diganggu oleh orang orang raja itu supaya mencari Encik Pakar anak beranak supaya dihukum dengan seberat berat hukuman.  

Berbalik pula kepada En Pakar yang telah membuat pondok dengan anak beranaknya tadi. Sehari kesehari mereka bekerja keras menebang, menebas dan menanam apa juga tanam tanaman dan buah buahan  serta padi, terutama padi inilah yang sangat mustahak kepada mereka.

Mereka telah dapat membuat sedikit ladang bertanam padi dari benih benih padi yang dibawanya dari Langat itu. Sementara mereka menunggu padi masak terpaksa mereka memakan benda yang lain daripada beras iaitu umbut pinang dan pisang hutan dan lain lain.Banyak lagi buah buah didalam hutan yang jadi bantuan makanan kepada mereka. Mereka makan nasi 3-4 hari sekali kerana mereka menjimatkan padi simpanan yang tinggal sedikit itu supaya sampai kepada masa menuai padi yang telah ditanamnya itu.

Maka sampailah musim menuai padi, maka banyaklah padi dapat  oleh mereka kerana padinya subur 



Terjemahan Jawi ke Rumi pada muka surat 73 & 74.

dan bernas. Pada suatu hari berkatalah En Pakar kepada isterinya dan anak anaknya dengan berlinang airmata.

“Aku tidak mendapat khabar akan waris ku yang tinggal diLangat itu selepas kita melarikan diri kemari dan mereka pun tentu  tak tau akan kita dimana kita semua berada. Oleh itu pada pikiran ku selanjau kita ada berpadi banyak ini aku hendak kesana mengikut jalan darat dengan berhati hati, berjumpa kepadanya, dan juga ia bersetuju aku ajak mereka kemari, berkumpul dengan kita,tetapi jangan setahu oleh baginda, jika diketahuinya tentulah diturutnya kita kemari – apa pikiran anak anak ku semua?"

Anak anaknya semua bersetuju bagaimana pikiran bapanya itu. Maka Encik Pakar pun bersiaplah dan bertolak seorang diri pada hari dan saat yang baik dengan membawa sedikit bekalan makanan.

Perjalanan itu sangat susah dan menggambil masa yang lama, kerana dari Kelang itu berjalan kaki meniti batang didalam hutan kadang kadang menempuh paya dan khuatir pula daripada binatang buas seperti harimau, badak dan ular lipan didalam hutan itu. Adalah kadar 4 hari maka sampailah ke Langat pada waktu senja.

Maka En Pakar pun dapatlah berjumpa dengan waris waris dengan selamat, pada malam itu mereka pun berundinglah dan berceritakan halnya masing masing. 

Maka kata datuk ku dan Tok Alang Tahir iaitu iaitu sepupu kepada En Pakar:-

“ Kami memang dari dulu lagi hendak pergi mencari engkau kerana aku disini tak tahan hari hari diganggui oleh orang orang raja itu bagi menunjukkan engkau, oleh itu tak ada lapang hatiku tambahan pula aku mengenangkan engkau belayar tempoh hari dalam merbahaya lanun lanun laut,tetapi sekarang alhamdullilah tuhan menyelamatkan engkau, oleh itu aku mesti ikut engkau”,

Maka pada suatu malam anggaran pukul 2 pagi mereka pun meninggalkan Langat tanah tempat tumpah darah mereka dengan 2 buah sampan yang sarat dengan segala perkakasan menghala kekebun tempat En Pakar yang baharu dibukanya itu.Dengan menanggong beberapa kesukaran maka sampailah mereka ketempat En Pakar yang baharu itu. 

Maka oleh Encik Pakar oleh kerana baik hatinya adalah kebun yang mula mula dibuatnya itu diberikan kepada Encik Tohir iaitu jatuh adik beradik bapa kepada Tok Ngah Singah yang ada sekarang 



Terjemahan Jawi ke Rumi pada muka surat 75 & 76.

ini (20.9.53) maka kebun itupun dinamakan olehnya dengan nama Singah juga hingga masa yang tersebut.

Maka akan Encik Pakar dibukanya pula hutan lain disebelah kebun yang siap itu, dan kebun itu pada masa ini tertanam dengan kelapa dan getah yang telah tua dan separuh bahagian kebun itu telah dijual oleh anak menantunya yang bernama Biah,isteri kepada arwah Hj Mahmud anak kepada Encik Pakar itu kepada seorang melayu bernama Samidin, ia bekerja membawa motokar (drebar) diKlang. Dan yang separuh bahagian lagi masih dalam tangan menantu En Pakar yang bernama Zabedah isteri kepada Kassim,dan yang sebahagian yang lain pula telah digadaikan oleh Abdul Rahman anak En Pakar yang bongsu kerana ia silap gaya iaitu membeli sebuah motokar – motokar pun habis kebun terlelong.- sekarang kebun itu telah dibeli oleh Lasan bin Mat Bandung dengan harga $2000.00 seluas 2 ekar yang dipenuhi oleh pokok getah tua dan kelapa serta nipah.

Dan Datuk ku pula (Hj Sulaiman) dibuatnya pula dengan tenaganya sendiri sebuah kebun seluas 10 ekar ditanam tanam nya dengan pokok durian, manggis dan lain lain buah buahan. Kebun itu bersambung sebelah utara kebun En Pakar dan En Tahir tadi. Maka dikebun inilah tempat kediaman anak anak cucu datuk ku hingga sekarang. Adalah harta itu dibahagi kepada faraitnya oleh pejabat syariah diKlang.

Dan atas tanah orang tua yang bertiga inilah terdiri rumah kediaman anak cucu mereka dan daripada mereka bertiga inilah juga orang yang asal menduduki membuka Kampung Padang Jawa ini sebagai yang kamu lihat.        
 
Cik Repah yang di idami oleh Sultan Abdul Samad itu ia telah berkahwin dengan Encik Nahu bin Banting seorang anak Langat juga - mereka telah hidup damai hingga hayatnya yang akhir. Cik Repah dan Encik Nahu telah dikuburkan ditanah wakaf perkuburan di Air Kuning.

Cerita Encik Nahu yang lebih lanjut akan diceritakan kelak. 

Gambar tahun 1935 diambil daripada buku tulisan Allahyarham Tn Hj Sujak@ Zainal b Hj Hassan (sebelah kiri gambar berbaju hitam) bersama Allayarham En Mohd Taib Kadir (Pak Alang Taib)ditengah gambar dan Allahyarham En Sahir (bapa En Suradi Sahir) disebelah kanan gambar.


Kepada pengunjung blog ini setelah membaca dokmentasi diatas bandingkan dengan tulisan yang terdapat pada laman laman blog.Untuk bacaan sepenuhnya pergi keblog blog tersebut.Saya hanya paparkan sebahagian tulisan blog itu.

1. Daripada http://skpadangjawapetaling.blogspot.com

SEJARAH AWAL KAMPUNG PADANG JAWA

Kampung Padang Jawa dipercayai diterokai oleh sekumpulan masyarakat Jawa terdiri dari 7 keluarga yang diketuai oleh Pak Kairan yang mencari penempatan baru dan mendapati tempat itu sesuai dijadikan sebuah perkampungan.Justeru itu, mereka mengambil keputusan menetap di situ.Mereka mula membersihkan satu kawasan lapang yang merupakan sebuah padang.Berdasarkan keadaan itu, mereka bersepakat menamakan kawasan itu Kampung Padang Jawa.Di situ mereka menetap dan mengusahakan tanaman tembakau. 

2. Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Padang Jawa ialah sebuah bandar kecil di Selangor, Malaysia. Ia terletak beberapa kilometer ke barat Shah Alam dan beberapa kilometer ke timur Klang. Kedudukannya juga berdekatan Bandar Baru Klang.
Padang Jawa adalah sebuah perkampungan yang agak awal di Klang. Padang Jawa asalnya terbahagi kepada dua buah kampung iaitu Kampung Berangan di sebelah daerah Klang dan Kampung Teluk Nipah di sebelah daerah Petaling. Setelah kedatangan orang-orang Jawa diketuai oleh Wak Sakiran baru nama Padang Jawa itu wujud.
Sebenarnya kampung ini telah wujud lebih daripada 130 tahun yang lalu. Lebih kurang sama umurnya jika dibandingkan dengan wujudnya Bandar Diraja Klang. Pada masa lalu kampung ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang mana nama-nama tersebut  telah dilupai oleh generasi masa kini. Diatas usaha Ketua Kampung untuk mencari maklumat, maka


3. www.jkkkpadangjawaklang.com

Sejarah Kampung.
Sebenarnya kampung ini telah wujud lebih daripada 130 tahun yang lalu. Lebih kurang sama umurnya jika dibandingkan dengan wujudnya Bandar Diraja Klang. Pada masa lalu kampung ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang mana nama-nama tersebut  telah dilupai oleh generasi masa kini. Diatas usaha Ketua Kampung untuk mencari maklumat, maka sedikit sebanyak telah dapat mencungkil sejarah silam permulaan kampung.
Kampung ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu, terdiri daripada Padang Jawa, Padang Lalang, Sungai Rasau, Kg. Berangan, Teluk Benta dan Batu Gajah. Mula diteroka  oleh seorang Jawa yang berasal dari Jawa Tengah Indonesia bernama Wak Kairan. Allahyarham adalah seorang pendekar yang terkenal dengan ilmu persilatan, gagah berani dan kekuatannya amat sukar ditandingi. Dari sumber yang diperolehi dari cerita-cerita  Allhyarham Hj. Mahmud bekas imam masjid, Wak Kairan inilah yang mula-mula meneroka kampung ini dengan menebas, membersihkan segala hutan-hutan dan semak samun. Jika dalam kamus jawa, PADANG bererti  membersih atau menerangkan kawasan dan telah dilakukan oleh seorang JAWA. Maka oleh kerana itu,  kampung ini telah diberi nama Padang Jawa. Setelah era kemerdekaan, kawasan-kawasan ini dijaga dibawah satu jagaan ketua kampung dengan menggunakan nama Kampung Padang Jawa. Bermula tahun 80an, apabila berlaku persempadanan semula daerah, kampung ini terbahagi kepada 2 bahagian. Sebahagian dikenali sebagai Kampung Padang Jawa Daerah Klang yang diketuai oleh seorang Ketua Kampung dan yang sebahagian lagi dikenali sebagai Kg. Padang Jawa Daerah Petaling dan diketuai oleh seorang Ketua Kampung juga. Sempadannya ialah Jalan Besar Padang Jawa Klang.

4. http://www.padangjawapetaling.blogspot.com.

a) Versi Pertama :- Seperti dalam dijkkkpadangjawaklang

 b) Versi Kedua :- Cerita ini berasal dari eKlang komuniti www.pdklang.gov.my/kampung. Oleh kerana 
      perubahan politik diSelangor maka laman ini telah terhapus.Penulis blog ini telah mengubah penceritanya 
     Tn Hj Ahmad kepada Tn Hj 

Kampong Padang Jawa ini merupakan kampong yg tertua didaerah Kelang dan Petaling dimana ianya telah wujud sejak tahun 1880 lagi, bermakna ia telah berumur lebih satu abad lamanya. Menyingkap kembali kewujudan kampong ini yang diceritakan oleh Tuan Haji Mahmud bin haji Ahmad yang merupakan bekas Imam Masjid Padang Jawa bahawa kampong ini telah wujud sekitar tahun 1880 lagi.Menurut beliau dua orang adik beradik yang dikenali dengan nama Tok Mat Tahir dan Tok Pakar telah datang untuk membuka kawasan penempatan,, mereka berdua berasal dari Kuala Langat (Bandar atau Bandau).Pada asalnya kampong ini terbahagi kepada beberapa kawasan iaitu kawasan kg.Berangan (sekarang dikenali sebagai Jalan Berangan) ,dan kawasan Teluk Benta,(sekarang ia dikenali sebagai Jln Tegas dan Jln Mat Raji) dan Padang Lalang (sekarang dikenali sebagai Sg.Rasa Dalam atau Kg. Rimba Jaya)
Nama Kg. Padang Jawa mula bertapak apabila seorang pendekar yang bernama Allahyarham Wak Kairan yang telah datang membuka kawasan yang sekarang ini Dikenali sebagai kawasan Rimba Jaya (dahulunya sebuah estet) .Beliau disanjung Dan terkenal dengan ilmu persilatan.

5.Daripada  http://hembusan.blogspot.com

Kampung ini juga boleh dianggap sebagain salah sebuah kampung yang tertua di dalam Daerah Klang yang mana wujud sejak tahun 1880.Menyingkap kembali sejarah kelahiran kampung ini, dari pencerita Tuan Hj Ahmad bekas imam Masjid Padang Jawa bahawa kampung ini telah wujud kira – kira pada tahun 1880. Dua orang adik beradik yang dikenali dengan nama Tok Mohd Tahir dan Tok Pakar telah datang membuka kampung ini. Mereka berasal dari Kuala Langat (Bandar @ Bandau). Pada asalnya kampung ini terbahagi kepada beberapa kawasan iaitu kawasan Kampung Berangan (sekarang dikenali Kawasan Jalan Berangan), Kawasan Telok Benta (Sekarang dikenali sebagai Kawasan Jalan Tegas) dan Padang Lalang (sekarang dikenali sebagai Sg. Rasah Dalam @ Kulon).

Nama Kampung Padang Jawa mula bertapak apabila seorang yang bernama Wak Kiran telah datang membuka kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai kawasan Rimba Jaya. Beliau terkenal dengan kehandalannya dalam ilmu pendekar dan mempunyai beberapa pembantu untuk membersihkan kawasan yang dibukanya. Untuk memudahkan pekerjanya berulang alik menggunakan perkhidmatan keretapi (telah terdapat jalan kereta api ) beliau telah memohon sebuah stesen keretapi didirikan dikampung ini dan pihak kerajaan telah bersetuju mendirikannya. Di atas persetujuan pihak kerajaan telah menerima cadangan Wak Kiran supaya menamakan stesen tersebut sebagai Stesen Kampung Padang Jawa. Sejak dari itu maka terkenal kampung ini dengan nama tersebut dan sedikit demi sedikit maka lenyaplah nama lama Kampung Berangan, Teluk Benta dan Padang Lalang. (Sumber eKlang komuniti www.pdklang.gov.my/kampung )

13 comments:

  1. Salam Pak Deris, menarik. Saya ada Soalan 1-Tok Pakar, Tok Tahir dan Hj Sulaiman adakah mereka semua jawa? ataukah "lindung" sebalik Jawa, iaitulah merahsiakan identiti sebenar. 2-Adakah siapa di Padang Jawa dari tampuk 3 ini yang punyai silsilah leluhur yang boleh disambung dari tanah asal? Daerah mana di tanah jawa?

    Saya melihat dari polemik situasi keseluruhan, terutamanya senario peperangan dalaman dan luaran mengakibatkan banyak muslihat dan kerahsiaan. Orang jawa jepara sudah terlibat dengan peperangan awal di Melaka atas dasar Fi sabilillah. Perang menyebabkan ramai yang menjadi prajurit dan panglima, upahan atau tidak, kemudian dibunuh, tewas, ditawan lalu dibuang negeri ke seluruh ceruk kepulauan. Diperhambakan hingga ke surinam. Menukar identiti kerana menjadi buruan kerana belot, derhaka,waris saingan kuasa dan sebagainya.

    Saya dapati perkarangan Tn Hj sujak itu bertapilapik kerana sangat rapuh dipersoalkan. Contohnya jika Marhum SAS Zalim, mengapa lari hanya ke sungai Klang dalam Negeri Selangor sedangkan dalam martabat ilmu Sultan itu -sangat langka untuk dikesan duduknya Tok Pakar. Lainlah kalau "mengangkat jadi gundik" itu adalah onar Tengku2 yang bernaung mencari nama dan tempat, hanyasanya Baginda dipetik menjadi alasan.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Tok Pakar, Tok Tahir dan Hj Sulaiman ini keturunan Melayu bukan Jawa dari Tanah Jawa. Bahasa seharian yg diguna pakai adalah Melayu Riau. Mereka melarikan diri dr Jugra/Langat ke Tanjung Gemuk / Kg Berangan (sebelum nama Pjawa timbul). Pernah seorang cucu kpd Hjh Jaeyah bertanya kpd Wan Teh iaitu Hjh Takziah perihal ethnis mereka (kedua2 ini adik beradik) dan dikata Melayu Bugis. Jika mengikut sejarah ramai orang2 Bugis yang menjadi buruan melarikan diri dari Johor ke Jugra/Langat. Dan bukankah Tok Pakar dan bersaudara itu sekampung dgn Sultan Abdul Samad ? Mungkin Tok Pakar bersaudara dan keturunan mereka lebih selesa menggelar diri mereka Melayu saja. Adat resam dan bahasa pertuturan kelompok2 ini adalah Bahasa Melayu Riau bukan Jawa. Dan menurut blog Hj Idris "Padang Jawa" ini sama tuanya dengan bandar Klang yg dibuka oleh orang2 Melayu dan disertakan juga foto2 anak2 gadis Melayu yg berkemban (bukan gadis2 Jawa). Dipendekkan cerita "Padang Jawa" telah dibuka dan terokai oleh orang2 Melayu, bukan orang2 keturunan Jawa. Tengok saja lah pendatang2 Indon/Jawa yg datang ke malaysia skrang ini..setelah sekian lama menetap di Malaysia slang Indon/Jawa mereka pun masih kental lagi..susah nak dibuang.

    ReplyDelete
  5. link ke blog2 yang tertera diatas di akhir kaki recana oleh Hj Idris adalah blog org lain. tujuan hj idris ialah utk membuat comparison dan memberi kesedaran dengan cerita sebenarnya dari beliau ...iaitu tentang asal usul Padang Jawa yg sebenarnya iaitu orang yang pertama membuka "Padang Jawa" ialah oleh orang2 Melayu dan bukan orang dari keturunan Jawa @ Wak Kiran @ Kasran etc . Selama ini ramai yang confused apatah lagi nama Padang Jawa itu sendiri mestilah kita semua fikir dibuka oleh orang2 Jawa....very misleading. Thanks Hj Idris dengan fakta2nya yg masuk akal dan berasas. Sila baca betul2..

    ReplyDelete
  6. Si admin ni rasis. Dia ni ada masalah peribadi dgn Org Jawa. Hati busuk punya orang. Gila

    ReplyDelete
  7. Tq. komen anda. Bro, biarpun anda label aku sebagai rasis, setidak tidaknya aku memperkatakan sesuatu dengan fakta mengenai dengan kampungku, tempat aku dilahirkan dan membesar serta melihat segala perkembangan pembangunannya dan masih lagi bernafas setakat ini. Aku paparkan profail, contact dan wajahku dalam blog tersebut dan memberikan kebebasan kepada pembaca untuk membuat penilaian dan komen. Bagaimana dengan anda ?.Profail diri pun tak sanggup nak tulis. Seolah olah aku berhubung dengan hantu dialam maya. Masalah peribadi aku ini adalah kerana aku bukan jawa tulen. Separuh Melayu separuh lagi jawa.Jadi aku tak boleh terima penipuan dan temberang segelintir beberapa orang/kepimpinan orang jawa dikampung ku yang mendakwa Kampung Padang Jawa diterokai oleh orang jawa. Mana ilmiahnya. Jangan lah jadi Pak turut Bro.

    ReplyDelete
  8. Jgn tak tahu.. Jalan tegas tu sbnarnya kakak aku yg letak.. Sbb dia kata.. Masa tu.. Org yg tinggal area tu.. Adalah dalam 6 7 biji rumah.. Lelakinya tegas dan garang.. Trmasuklah arwah ayah aku.. Yg masih ada lagi.. Pakcik suradi.. Da berumur skrg ni..

    ReplyDelete
  9. Saya berminat nak tahu lebih lanjut. Macam mana saya nk berhubung dgn penulis ya? Sbb saya email tak berbalas. Ada sesiapa tahu cara lain?

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum, boleh Tuan Blog menghubungi saya?

    ReplyDelete
  11. Ni dulu kawasan pendatang indonesiaduduk di tanah2 kerajaan.lepas kilang kilang dibangunkan, penduduk bercampur indon dan bangladesh. Sebahgian di pindahkan bila ada pembangunan di flat pangsapuri. Tp masih ada yg tinggal di kg kg sekitar

    ReplyDelete
  12. Hj.Ahmad bin Hj.Mohd Akib itu merupakan bapa saudara datok saya, iaitu Hj.Zainuddin bin Adam bermakna Ia sepupu kepada Hj.Mahmud bin Hj Ahmad..Hj.Ahmad bin Hj.Mohd Akib berkahwin dengan Adik kepada Adam iaitu Aminah binti Jebah dan Adam bin jebah telah berkahwin dengan kakak Kepada Hj.Ahmad iaitu Siti Hawa binti Hj.Mohd Akib.Bapa Hj Mohd Akib adalah Hj.Mahmud bin Sheikh Hj.Abdul Ghani mempunyai 3 anak lelaki,setakat Yang ketahui iaitu Hj.Mohd Akib,Hj.Mohd Tahir dan Hj Abdul Karim.Keturunan sebelah Hj.Mohd Akib adalah jalur keluarga saya serta keluarga Hj.Mahmud iaitu imam kedua masjid besar Padang jawa,keturunan sebelah Hj.Mohd Tahir adalah jalur ibu kepada Hamzah bin Abdul Rahman iaitu Ramlah binti Alwi dan keturunan Hj Abdul Karim adalah jalur keluarga maamor.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sambungan....keluarga-keluarga ini diceritakan berasal dari keturunan Batubara atau melayu deli,menurut cerita orang terdahulu,nama-nama mereka ini ada didalam Istana maimun.

      Delete