Beberapa laman blog telah menampilkan pelbagai gaya cerita mengenai sejarah kelahiran, penerokaan dan kewujudan Kampung Padang Jawa Klang. Malangnya penulis penulis dilaman tersebut tidak memapar sumber cerita itu didapati atau diperolehi, melainkan cerita generasi ke generasi yang disampaikan oleh Allhyarham Tn Hj Ahmad Imam Masjid Padang Jawa yang pertama dan anaknya bekas Imam yang kedua Tn Hj Mahmud. Tanpa disedari cerita cerita sebenarnya yang disampaikan oleh kedua dua Imam tersebut diolah dengan tokok tambah atau dihapuskan cerita itu sama sekali bagi memperlihatkan kehebatan plot penceritaan dan imiginasi penulis.(Lihat dihujung rencana blog ini)
Ramai orang yang tidak mengetahui termasuk penulis penulis laman blog bahawa Allahyarham Tn Hj Ahmad dan anaknya Allahyarham Tn Hj Mahmud serta keturunannya berasal daripada Langat, datang ke Kampung Padang Jawa selepas peneroka awal Tok Pakar anak beranak, Mohd Tahir ( Tok Tahir) dan Hj Sulaiman.Mereka ini menetap diKampung Berangan. Mana mungkin Tn Hj Mahmud bercerita kepada Sdra Saian Asmari, Ketua Kampung bahawa orang jawa yang mula mula meneroka Kampung Padang Jawa. Saya percaya Sdra. Saian Asmari pernah berjumpa Tn Hj Mahmud semasa hidupnya ketika itu Sdra Saian Asmari memegang jawatan S/usaha JKKK pada rejim partai politik yang terdahulu sebelum menukar aliran politiknya sekarang. Tn Hj Mahmud berceritakan Wak Kairan orang Jawa Tengah meneroka Padang Lalang sahaja.(fullstop) tetapi gaya Sdra.Saian Asmari menulis dengan membina plot ceritanya pada blognya menyandarkan sumber yang diperolehinya adalah dari Tn Hj Mahmud untuk menonjolkan kehebatan ketokohan orang jawa.Sdra Saian Asmari juga memberikan tafsiran kamus jawa mengenai perkataan Padang sebagai memperhebatkan ceritanya.(Lihat pada laman JKKK padangjawaklang). Siapa nak tanya kerana Tn Hj Mahmud dah meninggal dunia. Tapi masih ada warga Padang Jawa yang berumur 60 tahun keatas juga pernah mendengar apa yang diceritakan oleh Tn Hj Mahmud.( En Safie Alwi generasi ketiga Tok Tahir seangkatan Tn Hj Mahmud masih hidup lagi setakat hari ini walaupun uzur tinggal diKampung Berangan)
Ramai orang juga tidak mengetahui peneraju kepimpinan Kampung Padang Jawa dahulu adalah dipegang oleh orang Melayu keturunan Tok Pakar, Tok Tahir serta Hj Sulaiman berasal dari Langat. Umpamanya jawatan Ketua Kampung dipegang oleh Allahyarham Tn Hj Salleh Ramdan, Allahyarham Tn Hj Zainal Hj Hassan, Allahyarham Rahmat Dahlan, En Abdul Manaf Hj Zainal dan Allahyarham Tn Hj Jamaluddin. Begitu juga Imam Masjid dipegang oleh Allahyarham Tn Hj Ahmad, Allahyarham Tn Hj Mahmud Hj Ahmad, Allahyarham Tn Hj Ustaz Manan Yamin dan Allahyarham Tn Hj Ismail Hj Hassan. Era 90an jawatan jawatan ini mula dipegang oleh keturunan jawa. Begitu juga Ketua Kampung Padang Jawa Petaling Tn Hj Hamed Saharuddin berketurunan daripada Langat.
Ramai orang tidak tahu bahawa orang Melayu dahulu telah menggunakan Sungai Klang (sejak 1804) sebagai satu satu nya jalan pengangkutan ke Kuala Lumpur. ( baca Straits Times 23.3.1884) Masa itu mana ada jalan darat lebih lebih lagi jalan highway. Sebab itu perkampungan orang melayu berada/dibina berhampiran Sg Klang.Perkampungan Orang Rawa telah wujud di Kampung Jawa dan Sg Bertik sejak 1850. Jika Sdra Saian Asmari menyatakan Wak Kairan mula-mula
meneroka kampung ini dengan menebas, membersihkan segala hutan-hutan dan
semak samun diPadang Lalang lebih 130 tahun dahulu, berapa jauhkah Sungai Klang dengan Padang Lalang? Tak masuk akalkan.Apa mungkin Wak Kairan apabila mula mula datang untuk meneroka Padang Jawa naik kereta api Selangor State Goverment Railway atau Federated Malay State Railway atau Kereta Api Tanah Melayu atau KTMB atau jalan darat melalui Lebuh Raya Persekutuan?
Ramai orang tidak tahu perkhidmatan kereta api antara Bukit Kuda ke Kuala Lumpur bermula pada 15hb September 1886.( Baca Campur Tangan British diTanah Melayu)Lihat dalam blog ini Setesen Kereta Api Bukit Kuda. Posted 08 Mac 2012). Setesen kereta api Padang Jawa dibina bukan kerana kepentingan orang Kampung Padang Jawa (ketika itu tak lebih pun 100 buah rumah)atau kehebatan Wak Kairan boleh menahan kereta api (seperti dinyatakan dalam blog) tetapi adalah kepentingan British nak angkut apa saja hasil galian atau hasil hutan diMalaya ke England.Begitu juga jika dikaji jalan raya antara Klang ke KL dibina dahulu melalui Berkely Estate, Bukit Rajah Estate, Midland Estate, Sg Rengam Estate,Bukit Jelutung Estate, Damansara Estate dan banyak lagi estate.Apakah maknanya? Jawapan nya British menjaga kepentingan pada industri getah.
Ramai orang tidak tahu dalam sengketa anak anak raja Selangor dalam Perang Klang Pertama dan Perang Kelang Kedua tiada pun disebut orang jawa yang hebat pendekarnya membantu.Yang ditulis dalam sejarah adalah Orang Rawa, Orang Bangkahulu,Orang Batu Bara, Orang Mendahiling, Orang Kedah, Orang Pahang dan Orang Cina diketua oleh Yap Ah Loy.
Ramai orang yang tidak tahu kedatangan/kebanjiran/penghijrahan Orang Jawa ke Tanah Melayu dalam sejarah adalah pada awal 1900.(Baca Orang Jawa diSelangor oleh Khazin Mohd Tamrin, Immirant dan lain lain lagi mengenai Orang Jawa diSelangor )Sdra Saian Asmari menyatakan Kampung Padang Jawa wujud lebih 130 tahun.Pelik juga kiraan matematik Sdra Saian Asmari tentang kedatangan Wak Kairan dan orang orang Jawa.Angka 2012 tolak 1900 = ?. Andaikata Wak Kairan datang pada sekitar 1870an tentu Wak Kairan kenal dengan Tengku Kudin,Raja Mahdi,Yap Ah Loy, Raja Abdullah,Raja Ismail, Saiyid Mashhor, Van Hagen, Cavaliero dan lain lain lagi kerana kenyataan Sdra Saian Asmari, Wak Kairan dikatakan hebat pendekarnya.
Jika Sdra Saian Asmari menyatakan wujudnya Padang Jawa sama tua dengan bandar Klang tentulah banyak orang jawa diBandar Klang tapi kenyataan dibawah ini tak sebut pun Orang Jawa :-
"Menurut
Muhammad Ibrahim Munshi pada tahun 1872; Rumah di Kelang lebih kurang 400 buah
dengan penduduknya 3,000 orang iaitu orang Melayu, Arab, Inggeris, Cina, India Islam,
Hindu, Benggali dll. Di bandar Kelang ada deretan rumah2 kedai Cina dan Melayu,
simpang, surau, pejabat, penjara, balai polis, rumah sakit semuanya rumah atap
dan selebihnya hutan. Ada jalan2 iaitu China Street (di hujungnya ada stesen
dan jambatan) King street, Beach Street, Market Street, Wharf Street, Chulia
Street, Hopital Street dan Mosque Street dengan lebihkurang 90 buah kereta
lembu. Keperluan makanan adalah dari Melaka."
Ramai orang tidak tahu bahawa dalam tahun 2000 lagi telah ada laman website eklangkomuniti yang mempamer Sejarah Kampung Padang Jawa. Apakah Sdra Saian Asmari tidak tahu atau pura pura tak tahu? Website/Blog JKKK Padang Jawa Klang diketuai Sdr.Saian Asmari sebagai Ketua Kampung wujud Disember 2009.Hello Bro belajar dan hormatlah kerja orang lain.
Dibawah ini saya pamerkan dokumentasi 59 tahun Keluarga Hj Sulaiman dan Singah mengenai peneroka awal Kampung Padang Jawa yang ditulis oleh Allahyarham Tn Hj Sujak@Zainal b Hj Hassan bekas Ketua Kampung pada 1953. Pada masa itu Sdra Saian Asmari berumur lebih kurang 2 tahun. Tulisan ini tidak pernah dipamerkan kepada umum.
Insyaallah jika ada umur panjang akan saya uploadkan tulisan Allahyarham Tn Hj Sujak@Zainal b Hj Hassan mengenai Kedatangan Bapaku -Orang Jawa,Susurgalur keluarga Tok Pakar, Tok Tahir dan Hj Sulaiman serta penempatan diKampung Berangan oleh ketiga tiga orang yang mula mula membuka/meneroka Padang Jawa.
Terjemahan Jawi ke Rumi di muka surat 65 & 66
Bab 16.Kedatangan Datuk Ku
Menurut keterangan dari ibuku bahawa datuk ku berasal dari
Langat berumah tinggi dengan mewahnya disana.
Pada suatu hari datanglah seorang
orang raja ( hamba raja) atau (hamba perut) iaitu kuli yang diberi makan sahaja
tiada bergaji, mendapatkan adik sepupu datuk ku bernama Pakar katanya.
“Saya ini datang kemari diperintahkan oleh Duli Yang Maha
Mulia Sultan Abd Samad iaitu Sultan yang memerintah dalam negeri Selangor ini
seluas luasnya. Tujuan nya adalah Encik Pakar masa ini ada mempunyai seorang anak
perempuan bernama Repah. Oleh itu Yang Maha Mulia mengambil keputusan bahawa
Repah ini akan dijadikan oleh baginda sebagai gundik diistana kelak, dengan
inilah saya memberi keterangan yang
cukup jelas supaya Encik Pakar menyerahkan anak Encik Pakar ini jika tidak
Encik Pakar sendiri tentu tau bagaimana hukum orang yang menderhaka kepada
Sultan, saya pikir eloklah Encik Pakar dengan segera menghantarkannya sementara
baginda belum murka.”
Terkejut Encik Pakar mendengar perkataan orang raja itu. Ia
termenung sejurus mengambil pikiran.
”Apa lagi yang Encik Pakar menungkan,
bukankah sudah bertuah anak Encik Pakar menjadi isteri baginda” kata orang raja
itu lagi.
“Betul” kata Encik Pakar memulakan cakapnya. “Saya memang bersetuju
dapat bermenantukan baginda, tetapi saya mintak jika tuan mengizinkan berilah
saya tempoh pada hari esok, supaya dapat saya membersihkan badan anak saya itu,
kerana badannya berlumak lumak kotor maklum maklumlah budak budak, jika tidak
dibersihkan dulu barangkali kelak murkalah baginda” kata Encik Pakar
mendalihkan untuk mencari ikhtiar supaya terlepas dari bahaya sultan yang ganas
itu. Permintaan ini dimakbulkan oleh orang raja itu.
Apabila orang raja itu telah balik maka Encik
Pakar pun pergilah kerumah saudara saudaranya berpakat atas kedatangan orang
raja tadi dan tujuannya dan bagaimana gaya jalan mengelakkan kerana mereka tak
suka anak anak mereka diperisteri oleh raja.
Terjemahan Jawi ke Rumi dimuka surat 67 & 68.
Kerana yang telah sudah apabila sesaorang raja atau sultan
beristerikan anak anak orang kebanyakan dibuatnya seperti hamba tebusan. Tiada
boleh keluar langsung daripada istana, dan tiada boleh berjumpa dengan ibu bapanya
walau mati sekalipun, demikian jua kedua ibu bapa tiada dibenarkan berjumpa
anaknya.
Kadang kadang bila raja itu cemburu kepada isterinya anak anak orang
kampong itu maka dengan tiada pereksa lagi terus dihukum bunuh, kasihan matilah
hamba Allah yang tiada berdosa itu. Perkara yang berlaku demikian itu selalu
berlaku oleh fitnah isteri isteri raja yang sangat tidak menimbang rasa
keadilan, kerana kebanyakkan raja raja itu isteri dan gundiknya tersangat
banyak, boleh jadi seorang raja kurangnya 40-50 orang gundiknya, maka dalam
banyak itu tentulah ada yang sangat dikasihi oleh raja raja itu, maka biasanya cakap
cakap gundik yang disayangi itulah yang selalu membuat fitnah, dan didengar
oleh raja.
Dengan memandang kepada tauladan yang telah berlaku itulah
Encik Pakar dan saudara saudaranya tidak izin yang anaknya Repah yang sedang anak
dara sunti kira kira berumur 12 tahun dan comel pula diperisteri atau
dipergundik oleh raja. Oleh itu mereka mesti mencari ikhtiar dengan segera,
jika tidak diturut kehendak Sultan Abdul Samad itu tentu Encik Pakar anak
beranak akan menerima maut.
Pendek kata Encik Pakar bermesyuarat dengan saudara
saudaranya itu dapatlah satu keputusan yang lebih selamat yaitu lari daripada
tempat itu menghilangkan diri dengan anak beranak ketempat yang tidak diketahui
oleh orang orang dengan mudah.
Pada malam itu berkemas kemaslah Encik Pakar dengan sekelian
anak beranak dan isterinya serta membawa bekalan padi serta sedikit perkakas
perkebunan seperti kapak, parang, beliung,cangkul dan lain lainnya lagi. Pada saat
yang baik mereka pun berlepas anak beranak dengan sebuah sampan yang kecil
membawa nasib mereka kemana satu tempat yang belum dapat mereka hendak tuju.
Sebelum mereka belayar itu mereka telah memberi selamat
tinggal dan bertangisan kerana mereka terpaksa meninggalkan saudaranya yang
dikasihi serta dengan hidup
Terjemahan Jawi ke Rumi dimuka surat 69 & 70.
demi diantara satu sama lain itu tetapi apa boleh buat
pencarian telah tiada sambil Encik Pakar menangis tersedu sedu mengeluarkan
suaranya kepada saudaranya yang akan ditinggalkan itu.
“ Aku pergi membawa nasibku barang kemana dilorongkan tuhan belum
aku tahu aku terpaksa lari dari bahaya maut ini. Aku tidak akan balik kemari
lagi dalam perintah sultan yang zalim ini. Jika aku tidak mati aku akan
memberitahu kepada saudara saudara ku dimana tempat berada kelak. Selamat
tinggal aku ucapkan dipelihara tuhan atas mahluknya yang benar dan beriman”
Mereka sedang belayar keluar menghala kelautan besar dengan
sampan yang kecil itu, diisi dengan segala sedikit barang makanan dan perkakas,
sangat sarat serta dimuat pula oleh :-
1. Pakar
2. Rabiah
- isteri En Pakar
3. Lamah - (Tok Alang Lamah)
4. Kassim
5. Repah
6. Abdul Rahman
Mereka belayar itu menyusur tepi pantai selat Melaka dengan
hati yang khuatir kerana lanun sentiasa ada dilaut laut itu. Barangsiapa yang
terjumpa olehnya habislah disamunnya. Jika melawan dibunuhnya,dengan takdir
tuhan En.Pakar anak beranak terselamat dari lanun lanun itu.
Maka sampaikah mereka diKuala Klang, mereka pun belayar masuk
ke Sungai Klang tujuannya hendak pergi mencari tempat yang tiada berorang
supaya senang bersembunyi. Maka sampailah pula disebelah Tanjong Gemok menghala
ke hulu disitulah mereka naik. Sekarang tempat ini ialah menjadi pengkalan sampan
yang dibelakang rumah Tok Ngah Alwi.
Maka naik disitu pada waktu siang setelah belayar beberapa
hari lamanya sambil melindungkan dirinya kalau kalau diketahui atau dicari oleh
orang orang raja (Sultan Abdul Samad) maka mereka pun mendirikan pondok
daripada kayu kayu hutan disitu dan atapnya daripada daun kapau, pada masa
mereka mula mula naik tadi mereka nampak beberapa orang sakai didalam hutan
itu. Apabila mereka telah mendirikan pondok itu iapun beransur lari kedarat
lagi kerana takut daripada mereka yang datang itu.
Terjemahan Jawi ke Rumi pada muka surat 71 & 72.
Maka
tersebutlah pula kisah Sultan Abdul Samad duduk menunggu
akan kedatangan Cik Repah sebagai jadi gundiknya, tibalah masanya pada
keesokkan harinya tiada juga tiba hingga telah waktu Asar, tempat itu
bukan jauh dari
istana baginda, kerana mereka pun memang berkampung di kampong dalam
kawasan
istana baginda.
Maka murkalah baginda, disuruhnya seorang pesuruhnya suruh lihat
dan bawa ia kesana.Maka pergilah pesuruh itu kerumah Encik Pakar kerana melihat
anaknya Cik Repah itu.
Apabila tiba dilihatnya rumah Encik Pakar itu kosong sahaja
terdedah pintunya dan barang pun tiada, maka bertanyalah ia kepada jiran Encik
Pakar itu “Kemana Encik Pakar telah pergi”. Jawab mereka “tidak tahu kerana
malam tadi ada lagi ia disitu”.
Maka pesuruh itupun kembali ke istana memberi khabar. Apabila
didengar oleh baginda maka sangat sangat baginda bertambah murka, serta
disuruhnya cari dan bawa waris warisnya ke istana bagi disiasatnya.
Kesudahannya waris waris Encik Pakar itu lari juga, lepas
beberapa bulan mengikut Encik Pakar, kerana selalu diganggu oleh orang orang
raja itu supaya mencari Encik Pakar anak beranak supaya dihukum dengan seberat
berat hukuman.
Berbalik pula kepada En Pakar yang telah membuat pondok
dengan anak beranaknya tadi. Sehari kesehari mereka bekerja keras menebang,
menebas dan menanam apa juga tanam tanaman dan buah buahan serta padi, terutama padi inilah yang sangat
mustahak kepada mereka.
Mereka telah dapat membuat sedikit ladang bertanam padi dari
benih benih padi yang dibawanya dari Langat itu. Sementara mereka menunggu padi masak
terpaksa mereka memakan benda yang lain daripada beras iaitu umbut pinang dan
pisang hutan dan lain lain.Banyak lagi buah buah didalam hutan yang jadi bantuan makanan kepada mereka. Mereka makan nasi 3-4
hari sekali kerana mereka menjimatkan padi simpanan yang tinggal sedikit itu
supaya sampai kepada masa menuai padi yang telah ditanamnya itu.
Maka sampailah musim menuai padi, maka banyaklah
padi dapat oleh mereka kerana padinya
subur
Terjemahan Jawi ke Rumi pada muka surat 73 & 74.
dan bernas. Pada suatu hari berkatalah En Pakar kepada isterinya
dan anak anaknya dengan berlinang airmata.
“Aku tidak mendapat khabar akan
waris ku yang tinggal diLangat itu selepas kita melarikan diri kemari dan
mereka pun tentu tak tau akan kita
dimana kita semua berada. Oleh itu pada pikiran ku selanjau kita ada berpadi
banyak ini aku hendak kesana mengikut jalan darat dengan berhati hati, berjumpa
kepadanya, dan juga ia bersetuju aku ajak mereka kemari, berkumpul dengan kita,tetapi
jangan setahu oleh baginda, jika diketahuinya tentulah diturutnya kita kemari – apa
pikiran anak anak ku semua?"
Anak anaknya semua bersetuju bagaimana pikiran bapanya itu.
Maka Encik Pakar pun bersiaplah dan bertolak seorang diri pada hari dan saat yang baik
dengan membawa sedikit bekalan makanan.
Perjalanan itu sangat susah dan menggambil masa yang lama,
kerana dari Kelang itu berjalan kaki meniti batang didalam hutan kadang kadang
menempuh paya dan khuatir pula daripada binatang buas seperti harimau, badak
dan ular lipan didalam hutan itu. Adalah kadar 4 hari maka sampailah ke Langat
pada waktu senja.
Maka En Pakar pun dapatlah berjumpa dengan waris waris dengan
selamat, pada malam itu mereka pun berundinglah dan berceritakan halnya masing
masing.
Maka kata datuk ku dan Tok Alang Tahir iaitu iaitu sepupu kepada En
Pakar:-
“ Kami memang dari dulu lagi hendak pergi mencari engkau kerana aku
disini tak tahan hari hari diganggui oleh orang orang raja itu bagi menunjukkan engkau,
oleh itu tak ada lapang hatiku tambahan pula aku mengenangkan engkau belayar tempoh hari dalam merbahaya lanun
lanun laut,tetapi sekarang alhamdullilah tuhan menyelamatkan engkau, oleh itu
aku mesti ikut engkau”,
Maka pada suatu malam anggaran pukul 2 pagi mereka pun
meninggalkan Langat tanah tempat tumpah darah mereka dengan 2 buah sampan yang
sarat dengan segala perkakasan menghala kekebun tempat En Pakar yang baharu
dibukanya itu.Dengan menanggong beberapa kesukaran maka sampailah mereka
ketempat En Pakar yang baharu itu.
Maka oleh Encik Pakar oleh kerana baik hatinya
adalah kebun yang mula mula dibuatnya itu diberikan kepada Encik Tohir iaitu jatuh
adik beradik bapa kepada Tok Ngah Singah yang ada sekarang
Terjemahan Jawi ke Rumi pada muka surat 75 & 76.
ini (20.9.53) maka
kebun itupun dinamakan olehnya dengan nama Singah juga hingga masa yang
tersebut.
Maka akan Encik Pakar dibukanya pula hutan lain disebelah kebun yang siap itu, dan kebun itu pada masa ini tertanam dengan kelapa dan getah yang telah tua dan separuh bahagian kebun itu telah dijual oleh anak menantunya yang bernama Biah,isteri kepada arwah Hj Mahmud anak kepada Encik Pakar itu kepada seorang melayu bernama Samidin, ia bekerja membawa motokar (drebar)
diKlang. Dan yang separuh bahagian lagi masih dalam tangan menantu En Pakar
yang bernama Zabedah isteri kepada Kassim,dan yang sebahagian yang lain pula
telah digadaikan oleh Abdul Rahman anak En Pakar yang bongsu kerana ia silap
gaya iaitu membeli sebuah motokar – motokar pun habis kebun terlelong.-
sekarang kebun itu telah dibeli oleh Lasan bin Mat Bandung dengan harga
$2000.00 seluas 2 ekar yang dipenuhi oleh pokok getah tua dan kelapa serta nipah.
Dan Datuk ku pula (Hj Sulaiman) dibuatnya pula dengan
tenaganya sendiri sebuah kebun seluas 10 ekar ditanam tanam nya dengan pokok
durian, manggis dan lain lain buah buahan. Kebun itu bersambung sebelah utara
kebun En Pakar dan En Tahir tadi. Maka dikebun inilah tempat kediaman anak anak
cucu datuk ku hingga sekarang. Adalah harta itu dibahagi kepada faraitnya oleh pejabat syariah diKlang.
Dan atas tanah orang tua yang bertiga inilah terdiri rumah kediaman anak cucu mereka dan daripada mereka bertiga inilah juga orang yang asal menduduki membuka Kampung Padang Jawa ini sebagai yang kamu lihat.
Cik Repah yang di idami oleh Sultan Abdul Samad itu ia telah berkahwin dengan Encik Nahu bin Banting seorang anak Langat juga - mereka telah hidup damai hingga hayatnya yang akhir. Cik Repah dan Encik Nahu telah dikuburkan ditanah wakaf perkuburan di Air Kuning.
Cerita Encik Nahu yang lebih lanjut akan diceritakan kelak.
Gambar tahun 1935 diambil daripada buku tulisan Allahyarham Tn Hj Sujak@ Zainal b Hj Hassan (sebelah kiri gambar berbaju hitam) bersama Allayarham En Mohd Taib Kadir (Pak Alang Taib)ditengah gambar dan Allahyarham En Sahir (bapa En Suradi Sahir) disebelah kanan gambar.
Kepada pengunjung blog ini setelah membaca dokmentasi diatas bandingkan dengan tulisan yang terdapat pada laman laman blog.Untuk bacaan sepenuhnya pergi keblog blog tersebut.Saya hanya paparkan sebahagian tulisan blog itu.
1. Daripada http://skpadangjawapetaling.blogspot.com
SEJARAH AWAL KAMPUNG PADANG JAWA
Kampung Padang Jawa dipercayai
diterokai oleh sekumpulan masyarakat Jawa terdiri dari 7 keluarga yang
diketuai oleh Pak Kairan yang mencari penempatan baru dan mendapati
tempat itu sesuai dijadikan sebuah perkampungan.Justeru itu, mereka
mengambil keputusan menetap di situ.Mereka mula membersihkan satu
kawasan lapang yang merupakan sebuah padang.Berdasarkan keadaan itu,
mereka bersepakat menamakan kawasan itu Kampung Padang Jawa.Di situ
mereka menetap dan mengusahakan tanaman tembakau.
2. Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Padang Jawa ialah sebuah bandar kecil di
Selangor, Malaysia. Ia terletak beberapa kilometer ke barat Shah Alam dan
beberapa kilometer ke timur Klang. Kedudukannya juga berdekatan Bandar Baru
Klang.
Padang Jawa adalah sebuah perkampungan yang agak
awal di Klang. Padang Jawa asalnya terbahagi kepada dua buah kampung iaitu
Kampung Berangan di sebelah daerah Klang dan Kampung Teluk Nipah di sebelah
daerah Petaling. Setelah kedatangan orang-orang Jawa diketuai oleh Wak Sakiran
baru nama Padang Jawa itu wujud.
Sebenarnya kampung ini telah wujud lebih daripada
130 tahun yang lalu. Lebih kurang sama umurnya jika dibandingkan dengan
wujudnya Bandar Diraja Klang. Pada masa lalu kampung ini terbahagi kepada
beberapa bahagian yang mana nama-nama tersebut telah dilupai oleh
generasi masa kini. Diatas usaha Ketua Kampung untuk mencari maklumat, maka
3. www.jkkkpadangjawaklang.com
Sejarah Kampung.
Sebenarnya kampung ini telah wujud lebih
daripada 130 tahun yang lalu. Lebih kurang sama umurnya jika
dibandingkan dengan wujudnya Bandar Diraja Klang. Pada masa lalu kampung
ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang mana nama-nama tersebut
telah dilupai oleh generasi masa kini. Diatas usaha Ketua Kampung untuk
mencari maklumat, maka sedikit sebanyak telah dapat mencungkil sejarah
silam permulaan kampung.
Kampung ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu, terdiri daripada Padang Jawa, Padang Lalang, Sungai Rasau, Kg. Berangan, Teluk Benta dan Batu Gajah. Mula diteroka oleh seorang Jawa yang berasal dari Jawa Tengah Indonesia bernama Wak Kairan.
Allahyarham adalah seorang pendekar yang terkenal dengan ilmu
persilatan, gagah berani dan kekuatannya amat sukar ditandingi. Dari
sumber yang diperolehi dari cerita-cerita Allhyarham Hj. Mahmud bekas
imam masjid, Wak Kairan inilah yang mula-mula
meneroka kampung ini dengan menebas, membersihkan segala hutan-hutan dan
semak samun. Jika dalam kamus jawa, PADANG bererti membersih atau menerangkan kawasan dan telah dilakukan oleh seorang JAWA. Maka oleh kerana itu, kampung ini telah diberi nama Padang Jawa.
Setelah era kemerdekaan, kawasan-kawasan ini dijaga dibawah satu jagaan
ketua kampung dengan menggunakan nama Kampung Padang Jawa. Bermula
tahun 80an, apabila berlaku persempadanan semula daerah, kampung ini
terbahagi kepada 2 bahagian. Sebahagian dikenali sebagai Kampung Padang Jawa Daerah Klang yang diketuai oleh seorang Ketua Kampung dan yang sebahagian lagi dikenali sebagai Kg. Padang Jawa Daerah Petaling dan diketuai oleh seorang Ketua Kampung juga. Sempadannya ialah Jalan Besar Padang Jawa Klang.
4. http://www.padangjawapetaling.blogspot.com.
a) Versi Pertama :- Seperti dalam dijkkkpadangjawaklang
b) Versi Kedua :- Cerita ini berasal dari eKlang komuniti www.pdklang.gov.my/kampung. Oleh kerana
perubahan politik diSelangor maka laman ini telah terhapus.Penulis blog ini telah mengubah penceritanya
Tn Hj Ahmad kepada Tn Hj
Kampong
Padang Jawa ini merupakan kampong yg tertua didaerah Kelang dan
Petaling dimana ianya telah wujud sejak tahun 1880 lagi, bermakna ia
telah berumur lebih satu abad lamanya. Menyingkap kembali kewujudan
kampong ini yang diceritakan oleh Tuan Haji
Mahmud bin haji Ahmad yang merupakan bekas Imam Masjid Padang Jawa
bahawa kampong ini telah wujud sekitar tahun 1880 lagi.Menurut beliau
dua orang adik beradik yang dikenali dengan nama Tok Mat Tahir dan Tok
Pakar telah datang untuk membuka
kawasan penempatan,, mereka berdua berasal dari Kuala Langat (Bandar
atau Bandau).Pada asalnya kampong ini terbahagi kepada beberapa kawasan
iaitu kawasan kg.Berangan (sekarang dikenali sebagai Jalan Berangan)
,dan kawasan Teluk
Benta,(sekarang ia dikenali sebagai Jln Tegas dan Jln Mat Raji) dan
Padang Lalang (sekarang dikenali sebagai Sg.Rasa Dalam atau Kg. Rimba
Jaya)
Nama Kg. Padang Jawa mula bertapak apabila seorang pendekar yang bernama
Allahyarham Wak Kairan yang telah datang membuka kawasan yang sekarang
ini Dikenali sebagai kawasan Rimba Jaya (dahulunya sebuah estet) .Beliau disanjung Dan terkenal dengan ilmu persilatan.
5.Daripada http://hembusan.blogspot.com
Kampung ini juga boleh dianggap sebagain salah sebuah kampung yang
tertua di dalam Daerah Klang yang mana wujud sejak tahun 1880.Menyingkap
kembali sejarah kelahiran kampung ini, dari pencerita Tuan Hj Ahmad
bekas imam Masjid Padang Jawa bahawa kampung ini telah wujud kira – kira
pada tahun 1880. Dua orang adik beradik yang dikenali dengan nama Tok
Mohd Tahir dan Tok Pakar telah datang membuka kampung ini. Mereka
berasal dari Kuala Langat (Bandar @ Bandau). Pada asalnya kampung ini
terbahagi kepada beberapa kawasan iaitu kawasan Kampung Berangan
(sekarang dikenali Kawasan Jalan Berangan), Kawasan Telok Benta
(Sekarang dikenali sebagai Kawasan Jalan Tegas) dan Padang Lalang
(sekarang dikenali sebagai Sg. Rasah Dalam @ Kulon).
Nama Kampung
Padang Jawa mula bertapak apabila seorang yang bernama Wak Kiran telah
datang membuka kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai kawasan Rimba
Jaya. Beliau terkenal dengan kehandalannya dalam ilmu pendekar dan
mempunyai beberapa pembantu untuk membersihkan kawasan yang dibukanya.
Untuk memudahkan pekerjanya berulang alik menggunakan perkhidmatan
keretapi (telah terdapat jalan kereta api ) beliau telah memohon sebuah
stesen keretapi didirikan dikampung ini dan pihak kerajaan telah
bersetuju mendirikannya. Di atas persetujuan pihak kerajaan telah
menerima cadangan Wak Kiran supaya menamakan stesen tersebut sebagai
Stesen Kampung Padang Jawa. Sejak dari itu maka terkenal kampung ini
dengan nama tersebut dan sedikit demi sedikit maka lenyaplah nama lama
Kampung Berangan, Teluk Benta dan Padang Lalang.
(Sumber eKlang komuniti www.pdklang.gov.my/kampung )